top of page

Hasil lucut hak, penalti banteras rasuah, ketirisan cecah RM15.5 bilion - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read

DS Anwar menegaskan usaha membanteras rasuah, ketirisan dan penyeludupan di Dewan Negara
DS Anwar menegaskan usaha membanteras rasuah, ketirisan dan penyeludupan di Dewan Negara

Oleh: Akmal Manaf


Usaha penguatkuasaan berteraskan integriti mencatat sejarah baharu di bawah Kerajaan MADANI apabila nilai rampasan, lucut hak dan kutipan penalti hasil membanteras rasuah, ketirisan dan penyeludupan mencecah RM15.5 bilion.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah tersebut merupakan yang tertinggi pernah direkodkan di negara ini.


Katanya, pencapaian jumlah berkenaan tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa komitmen dan amalan integriti yang kukuh.


"Isu integriti ini merupakan isu utama. Kalau tanpa integriti tidak mungkin nilai rampasan, lucut hak serta kutipan penalti berjumlah RM15.5 bilion dapat dicapai.


"Ini kali pertama dalam sejarah negara ini. Ini memberi gambaran bahawa sebelum ini nampak ada kelonggaran, kelompongan, mana mungkin dalam satu negara kita mampu mengutip RM15.5 bilion daripada ketirisan, rasuah, penyeludupan dan lain-lain," katanya di Dewan Negara hari ini.


Beliau menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali mengenai langkah Kerajaan dalam memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam Agensi Penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Daripada jumlah RM15.5 bilion, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berjaya mengumpul jumlah nilai lucut hak berjumlah lebih RM8 bilion.


Namun katanya, walaupun pelbagai isu berkaitan politik sering dihebahkan, tindakan tegas SPRM terhadap perasuah, kadangkala tidak mendapat sokongan, malah ada yang mempertahankannya termasuk dalam kalangan beberapa Ahli Dewan Rakyat sendiri.


"PDRM pula melibatkan nilai rampasan hasil penyitaan berjumlah hampir RM4 billion. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket haram dan penyeludupan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM2.5 bilion.


"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MYCC) membuat rampasan dan kutipan penalti berjumlah RM1 bilion.


"Ini termasuk langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih berkesan termasuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," ujar beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page