
Hartal sehari dilakukan oleh doktor kontrak di seluruh negara hari ini kerana kerajaan Perikatan Nasional tidak menjaga kebajikan mereka yang berkerja bertungkus lumus sebagaimana doktor tetap.
Menurut jurucakap doktor kontrak di Hospital Kuala Lumpur, yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Mohamad, hartal terpaksa dilakukan bagi menyedarkan kerajaan agar memberi layanan yang lebih adil dan mendapatkan kelebihan sebagaimana dinikmati oleh doktor tetap di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
"Saya mewakili pegawai doktor kontrak di Hospital Kuala Lumpur. Hari ini kami tidak bermiat melakukan sebarang demonstrasi.
"Kami cuma ingin menyeru rakyat Malaysia bersama-sama kami memohon agar kerajaan memberi hak sama rata kepada kami seperti pegawai tetap lain. Di mana kami ingin diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dan peluang untuk diserapkan sebagai pegawai status tetap.
"Rakan-rakan kami di belakang kebanyakannya adalah mereka yang merawat pesakit-pesakit Covid bermula dari tahun lepas sehingga tahun ini," katanya dalam sidang media media, pagi tadi.

Beliau juga mengesahkan hampir 150 doktor kontrak telah pun mengundurkan diri sejak awal tahun ini kerana tekanan dan layanan yang tidak adil diberikan oleh kerajaan.
Sehubungan itu, agar perkhidmatan kesihatan tidak bertambah buruk ketika pandemik Covid 19, kata Dr Mohamad, maka mereka mengharapkan agar kerajaan PN dapat memberikan jalan keluar kepada situasi semasa doktor kontrak.
"Untuk pengetahuan sekelian, sudah hampir 150 orang doktor yang berhenti tahun ini kerana mulai penat dengan sistem sedia ada.
"Oleh itu saya tidak ingin bercakap panjang, cuma kami ingin memohon pihak kerajaan membantu kami dalam situasi Covid sekarang dan kami juga memohon pihak kerajaan mendengar suara kami
"Kami pegawai perubatan kontrak mahu bertugas secara tetap dan pihak kami dapat memberikan yang terbaik bagi menyelesaikan pandemik yang melanda negara kita ini," katanya lagi.
Comments