Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberikan seribu satu pengajaran kepada umat Islam dan rakyat secara keseluruhan dalam menghadapi pelbagai lagi jenis ujian dan dugaan di masa akan datang, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perutusan khas raya, Anwar berpandangan bahawa cabaran yang dihadapi negara ketika ini membuktikan bahawa rakyat perlu tekad meningkatkan amal makruf dan menolak kemungkaran rasuah dan pengkhianatan.
"Musibah yang menimpa kita ini tidak pernah dialami kita sebelumnya. Justeru dalam keghairahan kita menyambutnya, usah pula kita korbankan aspek-aspek kesihatan seperti pembatasan sosial atau pemakaian topeng muka.
"Mutakhir ini kita dihadapkan dengan kemelut kepimpinan yang amat parah yang sedang bergulat dengan persoalan keabsahan dan cabaran ekonomi yang maha dahsyat. Justeru apa yang dituntut kini adalah kebijakan yang inklusif dan progresif bagi merangkul kembali kekuatan ekonomi dan negara," katanya.
Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson berharap rakyat tabah meraikan Aidilfitri tahun ini dan meneruskan kehidupan dengan penuh kesabaran.
"Perayaan Aidilfitri tahun ini harus disambut dengan kewaspadaan, kesederhanaan dan keinsafan.
"Saya menyeru kepada semua warga agar kerukunan dan perpaduan terus dipupuk dan dirancakkan sesuai dengan norma baharu hari ini.
"Marilah bersama kita berusaha, berikhtiar dan berdoa agar pelbagai krisis yang melanda negara hari ini dapat ditamatkan sesegera mungkin. Mendoakan mudah-mudahan kita terus diberi kekuatan dan kesabaran," katanya lagi.
Comments