Hari Orang Asal Sedunia: Wilayah, adat, hak Orang Asal mesti dihormati – Abun
- Redzuan Shamsudin

- 10 hours ago
- 2 min read

Semua pihak wajar menghormati hak, wilayah, adat dan identiti masyarakat Orang Asal.
Ahli Dewan Negara Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata demikian sempena sambutan Hari Orang Asal Sedunia hari ini.
"Hari Orang Asal Sedunia bukan sekadar tarikh untuk diraikan, sebaliknya menjadi pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap kewujudan, identiti, maruah, budaya, adat, wilayah dan hak Orang Asal di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 9 Ogos setiap tahun sebagai International Day of the World's Indigenous Peoples menerusi Resolusi Perhimpunan Agung PBB 49/214.
Menurutnya, tarikh itu dipilih bersempena mesyuarat pertama UN Working Group on Indigenous Populations pada 9 Ogos 1982.
Beliau turut merujuk kepada United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples (UNDRIP) yang diterima pakai PBB pada 2007, yang antara lain mengiktiraf hak Orang Asal untuk menentukan nasib sendiri, mengekalkan budaya dan institusi serta hak terhadap tanah, wilayah dan sumber tradisional mereka.
Abun Sui berkata, adat Orang Asal tidak seharusnya dihakis atau diketepikan, sebaliknya perlu diperkasa, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
"Bagi saya, wilayah Orang Asal mesti dihormati.
Tanah dan wilayah bukan sekadar soal sempadan di atas peta. Ia berkait rapat dengan sejarah, kehidupan, identiti, sumber rezeki, adat dan hubungan spiritual sesuatu masyarakat dengan tanah pusaka mereka. UNDRIP Artikel 25 dan 26 secara jelas memberikan perhatian kepada hubungan Orang Asal dengan tanah, wilayah, air dan sumber tradisional mereka serta menyeru supaya hak tersebut diiktiraf dan dilindungi," katanya.
Begitu juga, katanya, adat, bahasa, pengetahuan tradisional, sistem kepimpinan dan institusi masyarakat Orang Asal perlu diperkasa, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
"Kerajaan mempunyai peranan yang sangat penting — bukan untuk melemahkan adat, tetapi memastikan adat dan identiti Orang Asal terus hidup dalam pembangunan negara yang adil dan inklusif."
Dalam pada itu, Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang Sarawak itu berharap tidak wujud usaha secara terancang, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk menghakis adat dan identiti Orang Asal sehingga akhirnya hak mereka turut terjejas.
"Kemajuan tidak seharusnya mengorbankan warisan.
"Dan perubahan tidak seharusnya menyebabkan masyarakat Orang Asal kehilangan hak terhadap tanah, wilayah, adat dan kehidupan yang diwarisi turun-temurun," katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya menghormati dan memperkasakan masyarakat Orang Asal serta memastikan suara mereka terus diberikan ruang dalam menentukan masa depan sendiri.
"Hormatilah Orang Asal. Hormatilah wilayah mereka. Perkasakan adat mereka. Lindungi hak mereka.
"Peliharalah warisan mereka untuk generasi akan datang," katanya.
Tegas beliau, warisan Orang Asal menyumbang sebagai sebuah bangsa bermaruah, dan suara Orang Asal mesti terus didengar dalam menentukan masa depan mereka sendiri.




Comments