Hari Natal diraikan bersama, semai harmoni dan saling menghormati
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Menteri-menteri Kabinet merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Natal kepada semua penganut Kristian dengan harapan perayaan itu dapat menyemai keharmonian dan saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Hari Natal mengingatkan rakyat bahawa keharmonian merupakan asas kepada kestabilan negara.

Tanpa keharmonian, rakyat tidak dapat menikmati keamanan selain sukar untuk masyarakat membina sebuah negara yang stabil dan makmur, katanya.
"Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian di Malaysia.
"Semoga perayaaan ini menyemai kasih sayang, kedamaian dan harapan, di samping memperkukuh semangat saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum dan agama," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Aaron Ago berkata kementeriannya komited untuk memperkukuh usaha pembinaan negara bangsa ke arah Malaysia yang lebih aman, bersatu, stabil dan harmoni.
"Inilah aspirasi bersama kita demi masa depan negara yang lebih inklusif dan sejahtera," ujarnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dan timbalannya Datuk Lo Sui Fui berharap agar perayaan itu diraikan bersama keluarga dan rakan taulan dengan penuh keceriaan, kedamaian serta kasih sayang.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Natal dengan seruan agar ia dapat diraikan dengan penuh nilai kekeluargaan.
"Semoga sambutan perayaan ini diraikan dalam suasana aman, harmoni dan penuh nilai kekeluargaan.
"Utamakan keselamatan ketika berada di jalan raya serta amalkan kesederhanaan dengan mengelakkan pembaziran makanan," ujarnya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula berkata keunikan salasilah keluarga sebahagian besar masyarakat di Sabah dapat menyemai nilai kebersamaan dan toleransi dalam hubungan kemasyarakatan.

"Ini kerana citra kepelbagaian dalam salasilah kekeluargaan dan persaudaraan telah menjadi sebahagian daripada kehidupan.
"Inilah kisah rakyat kita di Sabah dan inilah cerita keluarga saya. Di sebelah nenda, antara salasilah akar keluarga ibu saya berketurunan Kadazan Dusun. Saya merupakan generasi ke-10 daripada cabang keluarga Potou dalam rumpun keluarga besar Samat Mukaie," katanya.
Namun kata Armizan perbezaan tidak menjadi titik pemisah kerana setiap perayaan yang disambut diraikan bersama termasuk Krismas.
"Moga sambutan ini menjadi wahana yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan, tolerasi dan mengukuhkan perpaduan sesama kita," katanya.









Comments