top of page

Hari Nakbah 2026: Tingkatkan tekanan, bebaskan Al Aqsa - MAPIM

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa pembebasan Masjid Al Aqsa serta menuntut keadilan buat rakyat Palestin sempena memperingati Hari Nakbah 2026.


Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Hari Nakbah bukan sekadar peristiwa sejarah sebaliknya simbol penderitaan berpanjangan rakyat Palestin akibat pendudukan dan penafian hak asasi.


"Hari Nakbah adalah simbol penderitaan yang berpanjangan akibat pendudukan, perampasan tanah, pengusiran penduduk serta penafian hak asasi yang telah berlangsung selama beberapa dekad," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, kesan perang 1967 yang membawa kepada pendudukan wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza terus memberi impak besar terhadap situasi politik dan kemanusiaan di rantau berkenaan.


Beliau turut menegaskan bahawa pencabulan berterusan terhadap kesucian Masjid Al Aqsa serta sekatan terhadap jemaah merupakan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.


"Pencerobohan berulang ke dalam kawasan Masjid Al Aqsa, sekatan terhadap para jemaah, usaha mengubah status quo sejarah dan perundangan yang sedia ada, serta dasar yang bertujuan mengubah komposisi demografi Baitulmaqdis merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang dan konvensyen antarabangsa," katanya.


Tambah beliau, Masjid Al Aqsa bukan hanya isu rakyat Palestin, tetapi amanah suci seluruh umat Islam dan mempunyai kedudukan istimewa sebagai kiblat pertama serta lokasi peristiwa Israk dan Mikraj.


Sehubungan itu, MAPIM menegaskan bahawa pembebasan Al Aqsa tidak boleh dipisahkan daripada pembebasan Palestin daripada pendudukan dan penindasan.


"Keamanan yang adil dan berkekalan tidak mungkin dicapai melalui dominasi ketenteraan, hukuman kolektif dan penafian hak nasional rakyat Palestin. Keamanan hanya dapat diwujudkan apabila keadilan ditegakkan dan undang-undang antarabangsa dihormati," katanya.


Dalam pada itu, Azmi menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa agar melaksanakan resolusi berkaitan Palestin serta meningkatkan usaha diplomatik, ekonomi dan kemanusiaan.


MAPIM juga menggesa Negara-negara Islam serta organisasi antarabangsa supaya mempergiatkan usaha perundangan, ekonomi dan kemanusiaan bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin.


Pertubuhan masyarakat sivil di seluruh dunia perlu memperkukuhkan kempen solidariti Palestin. Para ulama, sarjana dan pemimpin agama pula perlu terus mendidik masyarakat mengenai kepentingan Al Aqsa serta kewajipan mempertahankan keadilan untuk Palestin.


"Hasrat untuk memperoleh kebebasan, maruah dan keadilan tidak akan dapat dipadamkan.


"Pendudukan (Israel) tidak akan kekal selama-lamanya. Suara kebenaran dan keadilan akhirnya akan mencapai kemenangan," kata beliau lagi.


Untuk rekod, Hari Nakbah bermaksud "Hari Malapetaka" bagi rakyat Palestin. Hari ini memperingati peristiwa hitam pada tahun 1948 apabila lebih 500 bandar dan kampung dimusnahkan.


Kira-kira 700,000 hingga 800,000 penduduk Palestin diusir secara paksa dari tanah air mereka sebaik mandat British berakhir selepas pengisytiharan penubuhan negara Israel pada 14 Mei 1948.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page