Hari Malaysia: P Pinang lambang hidup bersatu padu pelbagai kaum - Fahmi
- Suara Keadilan

- Sep 17
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tarikh keramat 16 September yang disambut sebagai Hari Malaysia bukan sekadar memperingati detik pembentukan negara, malah menjadi simbol penyatuan rakyat dalam usaha membina Malaysia yang merdeka, berdaulat dan sejahtera.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan itu mengingatkan masyarakat tentang detik bersejarah pada 1963 apabila Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu bergabung membentuk sebuah negara berdaulat yang kini dikenali sebagai Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 berkata, tahun ini sambutan Hari Malaysia diraikan di Pulau Pinang yang merupakan negeri yang kaya dengan sejarah, budaya dan kepelbagaian.
Ujarnya, pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah merupakan lambang hasrat Kerajaan MADANI untuk menjadikan sambutan kebangsaan lebih inklusif dan menyeluruh, merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
''Kita sendiri dapat melihat bagaimana Pulau Pinang menjadi contoh hidup perpaduan. Lihat sahaja Street of Harmony di George Town.
''Di sini, Masjid Kapitan Keling berdiri bersebelahan dengan Kuil Sri Mahamariamman, Gereja St George dan Kuil Kuan Yin, melambangkan keharmonian antara agama dan budaya.
''Pulau Pinang membuktikan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi turut menjadi satu amalan yang hidup subur,'' katanya dalam ucaptama sempena sambutan Hari Malaysia 16 September lalu di Pulau Mutiara itu.
Sambutan Hari Malaysia diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena, Butterworth.
Dalam ucapan sama, Fahmi memaklumkan pada 14 September lalu, beliau telah merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) MADANI Penanti, salah satu daripada 42 NADI di Pulau Pinang.
Langkah itu katanya, merupakan usaha daripada kementeriannya bagi memperluas inisiatif digital yang menjangkau seluruh rakyat tanpa mengira lokasi atau latar belakang.
Sementara itu, pemenang Gerakan Bersama Malaysiaku telah diumumkan, tempat pertama mendapat hadiah Proton e.Mas dimenangi Danken A/K Philip; tempat kedua: Proton X70 dimenangi Mazlina Badrunsaah; manakala tempat ketiga dengan hadiah motosikal Modenas dimenangi Shakira Syafiq Othman.









Comments