Hari Malaysia: Merapatkan jarak, merajut makna Malaysia yang sebenar
- Suara Keadilan

- Sep 16
- 2 min read

Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan merangkap Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Andre Lai Chen Heng, menegaskan bahawa semangat Hari Malaysia harus diraikan sebagai wadah penyatuan, bukannya perpecahan, selaras dengan falsafah Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Setiap 16 September, kita tidak sekadar mengingati tarikh Persekutuan Malaysia terbentuk. Kita menyambut hari di mana semangat Malaysia yang sebenar disatukan iaitu semangat yang tidak hanya wujud pada peta, tetapi dalam hati rakyatnya, dari Perlis ke Johor, dari Kuala Lumpur merentas Laut Cina Selatan ke wilayah Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan sempena Hari Malaysia.
Menurut beliau, dunia kini sering disajikan dengan kisah konflik dan perpecahan, namun Malaysia mampu menulis naratif yang berbeza.
"Naratif yang bukan tentang menjarakkan, tetapi tentang merapatkan. Bukan tentang memisahkan, tetapi tentang menyatupadukan," ujarnya.
Beliau menambah bahawa langkah berani kerajaan memulihkan hak wilayah laut serta mempercepatkan pemindahan kuasa kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah bukti penghormatan yang ikhlas terhadap sejarah serta autonomi wilayah Borneo.
Jelasnya, tidak pernah dalam sejarah Sabah dan Sarawak diberi tumpuan seperti yang dilaksanakan oleh PM Anwar. Inilah pemerintahan yang bukan sahaja membina jalan raya dan jambatan, tetapi juga jambatan hati dan peluang.
Namun, kata beliau, di sebalik semua itu masih terdapat kebimbangan terhadap ketaksuban politik sempit yang semakin meracuni keharmonian negara.

"Insiden bendera terbalik (misalnya) membawa fobia kepada rakyat Malaysia sehingga ada yang takut menggantung jalur gemilang di luar rumah mereka.
"Beberapa hari yang lalu, terkeluar berita seorang Ketua Polis Daerah diserang dengan batu oleh remaja dan lebih mengejutkan, PMX diugut dengan ancaman nyawa dalam satu video ceramah yang diwar-warkan baru-baru ini," katanya.
Bagaimanapun, ujarnya dalam 'kekalutan' di Semenanjung, rakyat di Sabah dan Sarawak membuktikan contoh perpaduan sejati tanpa sentimen kepuakan, bangsa, mahupun penghinaan terhadap pemimpin negara.
Sehubungan itu, Andre Lai menyeru rakyat untuk terus memelihara semangat kekitaan yang telah dibina bersama sejak penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
"Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan wilayah Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu. Kita telah melalui 62 tahun sebagai sebuah keluarga.
"Selamat Menyambut Hari Malaysia. Bersama Madani, Kita Malaysia," katanya lagi.









Comments