Hari Malaysia: Jangan biar perbezaan pendapat gugat perpaduan
- Suara Keadilan

- Sep 17
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menghayati semangat Hari Malaysia dengan mengekalkan sikap saling memahami, menghormati dan mendukung antara satu sama lain.
Beliau mengingatkan bahawa penubuhan Malaysia 62 tahun lalu bukan sekadar termeterai di atas dokumen rasmi, tetapi lahir daripada tekad, kasih sayang dan tolak ansur antara rakyat pelbagai wilayah.
"Enam puluh dua tahun lalu, bapa-bapa pendiri negara telah membuat keputusan untuk membina sebuah kesatuan bangsa yang dinamakan Malaysia.
"Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (buat seketika) telah bersatu jiwa melakar keputusan berani demi masa depan anak bangsa," katanya dalam kenyataan.
Saifuddin turut menegaskan, walaupun penubuhan Malaysia awalnya ditentang Indonesia dan Filipina, namun Malaysia terus bertatih membina kedaulatan dan maruah sebagai sebuah negara bangsa.
Sambil menzahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat, beliau turut menyeru semangat perpaduan nasional dikukuhkan demi menjamin masa depan negara.
"Kita memiliki perbezaan, tetapi terus berganding atas persamaan. Jangan biarkan perselisihan kecil membakar layar bahtera yang sepatutnya kita kemudi ke haluan yang terhebat," ujarnya.









Comments