Bekalan ternakan mencukupi penuhi keperluan ibadah korban - KPKM
- Helmi Mohd Foad

- 52 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan ternakan bagi sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini mencukupi untuk memenuhi keperluan ibadah korban di seluruh negara.
Kementerian dalam kenyataan memaklumkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sehingga April lalu menunjukkan stok bekalan lembu dan kerbau tempatan direkodkan sebanyak 35,127 ekor manakala bekalan import sebanyak 16,845 ekor.
"Ia menjadikan jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi tujuan korban mencecah 51,972 ekor sekali gus melebihi anggaran keperluan institusi seperti masjid, surau dan rumah sembelih yang dijangka sebanyak 40,420 ekor," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, bagi bekalan kambing dan bebiri pula stok tempatan sehingga April adalah sebanyak 25,815 ekor manakala bekalan import sebanyak 4,232 ekor.
Katanya, jumlah keseluruhan bekalan bagi ternakan itu ialah sebanyak 30,047 ekor, melebihi unjuran permintaan semasa iaitu 22,424 ekor.
"KPKM memberi jaminan bahawa jumlah keseluruhan bekalan ternakan dalam negara adalah amat mencukupi bagi menampung permintaan sembelihan bagi tujuan korban tahun ini," katanya.
Dalam pada itu, kementerian memaklumkan sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS di seluruh Semenanjung bersedia untuk beroperasi bagi tujuan penyembelihan ternakan korban.
Selain itu, kata kementerian DVS turut mengeluarkan lesen kepada 43 rumah sembelih swasta di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga 16 Mac lalu bagi menawarkan perkhidmatan penyembelihan yang sah kepada masyarakat.
Bagi aktiviti penyembelihan korban di luar kawasan rumah sembelih seperti di masjid, surau, sekolah, kawasan perumahan dan tempat awam, pihak penganjur diwajibkan mengemukakan permohonan permit penyembelihan luar berserta dokumen berkaitan untuk mendapatkan kelulusan, katanya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS bagi memastikan proses ibadah korban berjalan lancar dan mematuhi standard yang ditetapkan," kata kementerian.




Comments