top of page

Hari-hari berperang isu Parlimen kerana ia institusi rakyat


Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa terkilan apabila ada segelintir pihak menyalahkan semua ahli politik yang menjadi punca kerajaan berada dalam keadaan tidak stabil dan kes positif Covid-19 gagal ditangani sewajarnya.


Ketua Pembangkang itu berkata, masih ada ramai ahli politik yang memperjuangkan hak rakyat, bukannya semua gila kuasa.


"Ada yang kata gagal sebab ahli politik, saya bingung juga. Serangan kepada orang politik itu tidak benar, yang kita tekan adalah ahli politik yang rakus, penipu, rasuah dan membebankan rakyat.


"Kalau nak kata semua salah orang politik, itu tidak betul. Kita berperang hari-hari tentang sikap Parlimen, ia bukan institusi pertahankan Perikatan Nasional (PN) dan kelompok gila kuasa, itu institusi rakyat untuk menyuarakan rakyat.


"Jadi kita perlu asak terus dengan segala cara keupayaan supaya kita timbulkan kesedaran," katanya.


Sebab itu, beliau tetap terus memperjuangkan isu mengenai Parlimen.


"Saya kena teruskan ini, segala ruang ada untuk kita menyerang, menyegarkan minda, memberi kecergasan dan asakan sehingga tumbang kedurjanaan dalam sistem," katanya.


Pada masa sama, beliau menjangkakan ada ahli Parlimen yang akan terus mengkritik pemimpin-pemimpin kerajaan berhubung sidang Parlimen khas.


"Saya jangka akan ada bantahan dan saya tidak fikir akan ada sidang Parlimen yang tenteram kerana dari awal ada unsur penipuan, tengok cara angkuh speaker jawab.


"Kemudian menteri pun jawab bagi pihak speaker, tidak langsung memahami dan menghormati institusi, tidak ada tolak ansur.


"Sidang Parlimen perlu beri ruang perbahasan, perdebatan dan pengundian. Kalau tidak dia jadi corong menteri bagi kuliah.


"Kita tak mahu menteri tidak berwibawa, tidak ada kelayakan yang banyak bagi kerosakan menyebabkan orang mati dan orang sakit. Nak dengar kuliah dia buat apa," katanya.


Bagaimanapun, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengakui beliau memahami mengapa rakyat tidak suka dengan ahli-ahli politik ketika ini.


"Orang rasa mual dengan politik, ini bukan perkara baru, kerana tokoh politik tidak semuanya boleh dipercayai. Kalau tengok corruption bukan baru, puluhan tahun dah.


"Orang dah bosan, jadi ini peringatan kepada kita dan anak-anak untuk mengikuti perkembangan.


"Socrates sendiri sebut kalau yang pintar, yang cerdik tak mahu campur, yang bodoh akan menguasai.


"Edmund Burke menyebut kalau yang tahu kebenaran tidak mampu menyuarakan, yang mendamba kepalsuan akan berkuasa.


"Kita tak ada pilihan. Siapa boleh tentukan dasar pendidikan, dasar Covid-19, beli vaksin. Itu orang politik. Jadi jangan serahkan pada orang curang yang tidak peka kepentingan rakyat," katanya.


Justeru, beliau meminta rakyat terutamanya golongan belia supaya mengajak rakan-rakan supaya sedar dengan situasi semasa.


"Kami menuntut anak-anak bercakap dengan kawan, ini orang mati tapi kita biar, puluhan ribu dan kita tercorot dan terburuk berbanding negara lain.


"Ajak timbul kesedaran, kalau dengan KEADILAN, Alhamdulillah silakan. Kalau tidak pun tidak apa, tapi harus ada keinginan bawa perubahan, seperti tema KEADILAN, perubahan sedaya upaya," katanya.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page