top of page

Hari Guru, Pendidikan Manusiawi dan Keperluan Reformasi Pendidikan



Oleh: Fazril Saleh


ULASAN: Dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini kita menyaksikan fenomena positif peningkatan kepedulian masyarakat terhadap pendidikan dalam negara.


Segenap warga daripada pelbagai peringkat – guru, pentadbir pendidikan, pakar penyelidik, ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan, aktivis sosial, aktivis pendidikan dan ramai lagi hadir memberikan pandangan, melontarkan kritikan, menyampaikan ulasan, membangkitkan keprihatinan mereka melalui pelbagai wahana dan platform.


Masih segar dalam ingatan, bagaimana ‘Abah’ saya sendiri – seorang pekerja industri dengan pendidikan yang relatif rendah, namun begitu aktif menyuarakan keprihatinan beliau perihal pendidikan lewat sesi Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).


Setiap tahun, tatkala cikgu menyisipkan borang-borang untuk persediaan Mesyuarat PIBG, pasti Abah akan mengisi borang untuk sesi soal-jawab. Ada saja yang Abah “komplen”kan, begitu begini Abah “komen”kan.


Jika Abah saya yang sekadarnya, seorang penduduk kampung pun rasa begitu prihatin dengan pendidikan anak-anaknya yang dibesarkan di kampung, bagaimana pula keprihatinan dan kepedulian abah-abah orang lain yang tinggal di bandar dan kota raya?


Peningkatan kesedaran warga mengenai pendidikan


Hakikatnya, fenomena ini merupakan suatu fenomena yang menggalakkan. Ia menunjukkan peningkatan kesedaran warga nusa ini tentang betapa pentingnya pendidikan untuk masa depan.


Oleh yang demikian, pelbagai perkara ditagih kepada pihak berwajib dalam memastikan laluan pendidikan anak-anak terjamin, kerana kita semua meyakini dengan pendidikan yang baik akan mampu mengubah destini anak bangsa kita.


Sedekad lepas, ketika saya bergiat sebagai aktivis mahasiswa, antara fokus perjuangan kami adalah reformasi pendidikan negara. Pelbagai bahan bacaan menjadi rujukan kami, khasnya terkait konsep dan ideal pendidikan serta kritikan terhadap institusi dan praktik pendidikan semasa.


Kami turut diberi peluang untuk berperanserta dalam sesi “townhall”, sidang rapat umum dan sesi libat urus yang dianjurkan oleh Kementerian bagi membangun suatu dokumen cetak biru pendidikan negara yang dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).


Waktu itu, agak janggal istilah “townhall” – suatu istilah yang baru-baru diperkenalkan. Menariknya, cukup banyak khalayak yang hadir menyuarakan kegusaran mereka – khuatir tentang masa depan anak-anak mereka, dan mengharap agar transformasi pendidikan akan berlaku dengan jayanya.


Pelbagai isu dibangkitkan. Pelbagai ragam dipamerkan. Teringat akan Abah yang sentiasa ingin yang terbaik untuk anak-anaknya, walaupun dia dan rakan-rakan sekampungnya hanyalah orang biasa-biasa.


Wawasan Pendidikan Manusiawi


Kepimpinan pendidikan silih berganti. Namun, tekad mengemudi kementerian terbesar dalam negara pastinya tiada berubah. Kesemua Menteri memainkan peranannya masing-masing, sesuai dengan cabaran yang dihadapi semasa itu.


Mutakhir, kepimpinan pendidikan beralih tangan lagi setelah pembentukan Kerajaan Perpaduan Madani di bawah teraju YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Menariknya beliau mempercayakan tampuk kepimpinan pendidikan negara kepada YB Fadhlina Sidek, yang dinobatkan sebagai Menteri Pendidikan dalam kalangan wanita yang pertama dalam sejarah negara ini.


Setahun mengemudi bahtera Kementerian Pendidikan, beliau tampil gagah dengan gagasan “Pendidikan Manusiawi” – suatu gagasan yang cukup sentral, yang sebenarnya jika berjaya diterapkan merentas semua kegiatan di Kementerian sehingga ke cabang-cabang pentadbiran sehingga mampu diimplementasi di institusi-institusi pendidikan segenap ceruk negara, pastinya membawa transformasi sebenar.


Memang pendidikan menjadi sebab perubahan. Dengan pendidikan yang baik, akan menatijahkan karier dan kerjaya yang baik. Dengan Keputusan ujian yang cemerlang, akan membawa laluan pengajian yang lebih cemerlang pula.


Namun, sistem pendidikan juga bukan kilang, yang baik diambil, yang “rejected” dibuang. Sistem pendidikan juga bukan tempat menghasilkan robot atau tempat mencetak kaum pekerja semata-mata. Sistem pendidikan negara sepatutnya dan sewajarnya menghasilkan manusia yang baik pada peribadinya, menonjolkan yang terbaik dalam masyarakatnya dan menterjemahkan yang terbaik dalam hidup bernegaranya.


Semua hasrat dan aspirasi ini terangkum dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), yang sedaya mungkin dioperasikan dalam praktis pendidikan kita.


Merawat dampak pandemik Covid 19


Perasan atau tidak, Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek sebenarnya menanggung kesan daripada fenomena Covid-19 yang melanda dunia dan membekas sehingga kini. Semua orang terkesan dari sudut kesihatan, ekonomi dan sosial, termasuklah pendidikan yang menatijahkan generasi anak-anak “pandemials”. Merawat dampak pandemik bertimpa tidak mudah, dan kita semua merasainya.


Dalam tempoh setahun lebih meneraju sebuah Kementerian, banyak juga permasalahan legasi yang berjaya ditangani. Misalnya, isu berkaitan bebanan guru – memang benar implementasinya masih perlu diperbaiki, namun komitmen luar biasa ditampilkan dalam memberikan solusi kepada permasalahan legasi ini.


Isu lain seperti silibus berat memang “real”, lalu kementerian di bawah pimpinannya berani melakukan “campur tangan” intervensi kurikulum, meringankan aspek-aspek tertentu dan memberi tumpuan kepada penguasaan asas literasi dan numerasi seperti yang kita faham dulu sebagai “3M” (Membaca, Menulis, Mengira).


Beliau juga menggesa pengaplikasian teknologi digital – bukan semata-mata untuk mengejar kemajuan semasa, sebab selalunya orang-orang desa dan pedalaman akan tertinggal dengan kemajuan sepertinya. Tetapi untuk membantu menjadi solusi guru-guru mengesan keciciran dengan menggunakan teknologi.


Begitu juga dengan perkara asas, sekolah daif, projek penyelenggaraan sekolah dan tandas serta penambahbaikan prasarana sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM. Isu sekolah padat juga menjadi perhatian beliau, dengan penyuraian murid, solusi kelas terapung, kabin sementara, pembinaan blok baharu dan pembinaan sekolah baharu. Pastinya semua ini mengambil masa, dan tidak mudah. Justeru menuntut kefahaman kita bersama.


Oleh sebab itu, kita melihat dan menyaksikan bagaimana YB Menteri Pendidikan ini bekerja keras dan bersungguh-sungguh. Seringkali berpencak di Dewan Yang Mulia mempertahan para guru dan institusi; hadir ke sekolah bersalam mesra, berpeluk erat dengan anak-anak pelajar dan guru-guru (pastinya yang wanita sahaja); menyapa para pentadbir dan pemimpin pendidik, bertanya khabar dengan bersahaja dan terus terang; makan bersama di kantin, tolong cedukkan makanan untuk guru-guru; waktu bulan puasa berbuka dan bersahur di sekolah-sekolah merata negeri; turun ke desa, kampung orang Asli dan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk menyaksi sendiri kepayahan yang dialami; hadir ke institusi pendidikan guru memberi motivasi; menjengah fasiliti untuk murid-murid berkeperluan khas; melawat sekolah integriti dan sekolah Henry Gurney untuk beri peluang kedua kepada anak-anak ini.


Keperluan reformasi pendidikan


Apabila timbul laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) oleh Bank Dunia beberapa minggu lalu, maka reaksi pelbagai diterima di seluruh negara tentang kepentingan reformasi pendidikan kita dek kerana kajian menunjukkan kelemahan pendidikan menuntut tindakan segera. Ini suatu keadaan yang melegakan kerana seluruh warga nusa ini bersatu hati meletakkan pendidikan sebagai perkara terpenting yang sangat memprihatinkan.


Namun, warga juga harus berlaku adil, dan tidak terus menghambur segala kelemahan ini atas jemala Menteri Pendidikan kerana beliau baru setahun menggalas amanah dan taklifan ini, sedangkan kajian dibuat dengan mengambil rujukan dan sumber daripada laporan-laporan yang lebih awal daripada itu.


Sebab itu, respons dan maklum balas YB Menteri Pendidikan berhubung isu ini dapat dinilai sebagai tenang dan profesional. Beliau meraikan kritikan ramai kerana itulah kepedulian massa. Beliau tidak sedikitpun menyalahkan Menteri-menteri Pendidikan sebelum beliau kerana sekarang adalah waktu beliau bekerja. Dan beliau tonjolkan dalam kerja-buatnya, sehari-hari.


Beliau nyatakan inisiatif dan gerak kerja di KPM dibuat sejak awal lagi tanpa menunggu mana-mana laporan kerana memang sudah sedia sedar akan kelemahan yang perlu dibaiki, maka antara lainnya menggerakkan enam jawatankuasa khas untuk reformasi pendidikan negara antaranya untuk memfokus kepada pelan pendidikan dan kurikulum; penguasaan bahasa; pendidikan digital; pendidikan peringkat prasekolah; TVET; dan STEM.


Jika sempat, kunjungilah media sosialnya. Banyak foto yang saya fikir bukan untuk “show-off” tetapi sebagai pelaporan kepada rakyat, bahawa beliau dan kita semua sedang berusaha untuk melakukan yang terbaik demi pendidikan anak bangsa kita yang tercinta!


Peringatan Hari Guru 16 Mei setiap tahun diingati sebagai hari keramat, mengenang pengorbanan para pendidik di Malaysia. Kalau Abah saya masih punya anak bersekolah, dan masih kuat untuk hadir ke Mesyuarat PIBG sekolah, pastinya Abah saya akan merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YB Fadhlina kerana berjuang untuk anak-anak desa walaupun Abah saya tak berpeluang untuk punya pendidikan tinggi.


Seorang Menteri, seorang Ibu, seorang Cikgu!

Selamat Hari Guru, Cikgu Fadhlina!


_________________________________________________________________________________

Fazril Saleh merupakan seorang aktivis sosial, pendidik dan penulis. Beliau juga adalah Naib Presiden ABIM dan Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page