top of page

Hari Belia Malaysia: Tenaga, aura belia signifikan bawa arus perubahan - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jun 15
  • 2 min read
PM Anwar merasmikan Hari Belia Malaysia di Dataran Merdeka. Foto: FB Anwar
PM Anwar merasmikan Hari Belia Malaysia di Dataran Merdeka. Foto: FB Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menghargai golongan belia di negara ini dengan mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) sempena perasmian Hari Belia Negara malam tadi.


Menurut Anwar, suara anak muda perlu didengari kerajaan kerana mereka adalah pewaris kepimpinan negara pada masa depan.


"Semasa merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2025 Peringkat Kebangsaan malam ini, saya maklumkan bahawa suara anak muda dan golongan belia wajar terus didengari, dihormati dan diangkat sebagai suara penting dalam mencorak hala tuju negara.


"Gegak gempita semangat, tenaga dan aura belia amat signifikan dalam membawa arus perubahan ke arah masa depan negara yang lebih cemerlang dan berdaya saing di peringkat serantau mahupun global.


"Kita yakin bahawa kekuatan sesebuah negara bergantung kepada potensi, idealisme dan daya juang anak mudanya," kata Anwar dalam muat naik di Facebook usai majlis perasmian hari belia di Kuala Lumpur.


Menurut PM, belia di bawah pentadbiran beliau diberi pelbagai ruang untuk mengutarakan pandangan dan kritikan bagi bersama sama membina negara ke arah yang lebih gemilang.


"Justeru, suara belia mesti diberi ruang dan peluang pandangan mereka perlu didengar, aspirasi mereka dihargai, dan penglibatan mereka dalam proses penggubalan dasar serta pembangunan negara mesti terus disuburkan.


"Marilah kita bersama menyemarakkan semangat menyantuni suara belia dan membuka jalan kepada mereka untuk terus menyumbang kepada tanah air tercinta," katanya lagi.


Untuk rekod, kira-kira 30,000 golongan belia hadir memeriahkan sambutan Hari Belia Negara 2025 bertempat di Dataran Merdeka, malam tadi.


Program tiga hari yang berlangsung sejak Jumaat lalu itu dirasmikan oleh Perdana Menteri. Sambutan Hari Belia Negara diraikan pada tanggal 15 Mei setiap tahun dan pada tahun ini 'Yakin Boleh' dipilih sebagai tema sambutan.


Kemuncak majlis tersebut adalah penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2025.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page