
Parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Amanah diminta menghargai jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini.
Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata Anwar sentiasa menunjukkan semangat setiakawan yang tinggi serta kesetiaan penuh dalam mempertahankan PH daripada sebarang tohmahan dan fitnah pihak lawan, terutamanya yang melibatkan DAP dan Amanah.
"DAP dan Amanah sepatutnya berdiri teguh di belakang seorang lelaki yang bersama-sama mereka selama ini. Berhentilah bersikap terdesak. Inikah cara kamu bayar harga sebuah setiakawan yang dibina lebih 20 tahun?
"Tindakan dan kenyataan oleh DAP dan Amanah yang tidak menyatakan pendirian bersama-sama Anwar sangat mengecewakan," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menggesa KEADILAN menyatakan pendirian sehingga mencadangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri manakala Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri menerima kecaman pelbagai pihak.
Cadangan itu tidak mendapat sokongan daripada KEADILAN kerana kegagalan Tun Mahathir mengotakan janjinya untuk berundur sebagai Perdana Menteri ketika mentadbir kerajaan PH bagi memberi laluan kepada Anwar sehingga berlakunya Langkah Sheraton.