Hargai sokongan Perancis dalam peralihan tenaga, transformasi ekonomi negara
- Suara Keadilan

- Jul 4
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan Malaysia amat menghargai sokongan Perancis dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan usaha transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi.
Hal itu dinyatakan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Perancis, François Bayrou yang sekali gus membuka lembaran baharu hubungan Malaysia dan Perancis.
"Kami menyentuh pelbagai bidang kerjasama strategik termasuk pelaburan bernilai tinggi seperti aeroangkasa, semikonduktor dan automotif, kerjasama tenaga bersih, pertahanan, pendidikan, serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).
"Malaysia menghargai sokongan Perancis terhadap misi peralihan tenaga dan transformasi ekonomi negara menerusi penglibatan aktif syarikat seperti ENGIE, Total dan Thales," katanya dalam muat naik di Facebook.
Selain itu, PM juga menekankan kepentingan komitmen syarikat pembuat kapal terbang komersial terbesar Eropah, Airbus terhadap penghantaran pesawat A330 Neo yang telah dipersetujui bersama Malaysia Aviation Group (MAG), bagi memastikan kelangsungan operasi dan pelaburan yang efisien.
Tidak seperti Penerbangan Malaysia (MAS) yang menggunakan teknologi Boeing dari Amerika Syarikat, Air Asia kata Anwar, yakin menggunakan teknologi Perancis dalam sektor penerbangan komersialnya.
"AirAsia turut menunjukkan keyakinan terhadap teknologi Perancis melalui komitmennya untuk memperoleh sejumlah pesawat Airbus, sekaligus memperkukuh hubungan industri penerbangan antara kedua-dua negara," ujarnya.
Selain itu, kata PM, sebagai rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah, beliau yakin hubungan antara kedua negara akan terus berkembang selaras dengan aspirasi bersama ke arah pertumbuhan yang mampan dan masa depan yang lebih inklusif.
Anwar turut memanjangkan undangan kepada PM Bayrou untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia sebagai langkah memperteguh hubungan erat kedua-dua negara.
Untuk rekod, Perancis merupakan satu daripada lima rakan perdagangan utama Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah.
Pada 2024, perdagangan dua hala kedua-dua negara berjumlah RM15.95 bilion (AS$3.63 bilion), dengan RM6.26 bilion (AS$1.49 bilion) direkodkan antara Januari hingga Mei tahun ini.









Comments