Hargai pengorbanan wanita, bergandingan bina negara – Nurul Izzah
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Nurul Izzah Anwar mengajak masyarakat menghargai kekuatan, keberanian serta sumbangan wanita yang telah membantu membentuk masyarakat dan negara.
Beliau berkata dalam sejarah Malaysia terdapat tokoh wanita yang wajar dikenang kerana keberanian luar biasa, antaranya Sybil Kathigasu yang berkhidmat sebagai jururawat di negeri Perak ketika zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Menurutnya, dalam tempoh yang penuh ketakutan dan ketidaktentuan itu, Sybil memilih untuk membantu mangsa perang yang cedera serta anggota gerakan penentang penjajah Jepun secara senyap dan berhati-hati.
"Secara senyap dan penuh berhati-hati, beliau merawat mereka yang cedera.
"Beliau menyediakan ubat. Beliau turut memberi perlindungan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan hari wanita, hari ini.
Tambah beliau, keberanian Sybil akhirnya membawa kepada penangkapannya oleh tentera Jepun.
"Sybil Kathigasu telah diseksa dengan kejam oleh tentera Jepun, namun hingga ke saat terakhir beliau tidak pernah mendedahkan sebarang maklumat tentang orang yang telah dibantunya.
"Bayangkan keberanian seperti itu," kata Nurul Izzah.
Menurut beliau, kisah itu menggambarkan keberanian seorang wanita biasa yang sanggup mempertahankan perkara yang benar walaupun berdepan risiko yang amat besar.
"Apabila kita berbicara tentang wanita dan kepimpinan pada hari ini, kita juga perlu mengingati bahawa sejarah negara turut dibina atas keberanian wanita seperti Sybil," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa ramai wanita mungkin tidak dikenali secara meluas namun tanpa keberanian mereka, perjalanan yang dilalui negara hari ini mungkin jauh lebih sukar.
Sehubungan itu, Nurul Izzah menyeru masyarakat untuk terus menyokong wanita yang berkorban dan berusaha setiap hari tidak kira di mana sahaja mereka berada.
"Pada Hari Wanita Antarabangsa ini, marilah kita terus menyokong wanita yang berkorban dan berusaha setiap hari — di rumah, di tempat kerja dan dalam masyarakat kita.
"Ini termasuk mereka yang berani mempertahankan perkara yang benar, walaupun terpaksa menentang arus," katanya.
Beliau menambah bahawa kekuatan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui ekonominya, tetapi juga melalui bagaimana negara itu menghargai wanita yang membantu membinanya.
