top of page

'Hargai pengorbanan pejuang terdahulu, jadilah anak Reformasi sejati'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad


Perjuangan reformasi yang digerakkan lebih dua dekad lalu tidak boleh terhenti meskipun kejayaan besar telah dicapai hari ini, sebaliknya perlu diteruskan sebagai amanah untuk mengenang pengorbanan pejuang-pejuang awal.


Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata kejayaan menyaksikan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai Perdana Menteri merupakan kemuncak kepada perjuangan panjang reformasi yang penuh pengorbanan.


Namun katanya, kejayaan tersebut bukanlah noktah akhir kepada perjuangan, sebaliknya menjadi tanggungjawab baharu untuk memastikan nilai dan semangat reformasi terus dipertahankan.


"Hari ini kita berada bersama pejuang-pejuang lama reformasi yang telah berjuang lebih daripada 20 tahun untuk kita sampai ke tahap ini. Alhamdulillah, Presiden kita Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi Perdana Menteri Malaysia. Inilah hasil perjuangan kita selama ini.


"Perjuangan ini tidak terhenti di sini. Kita mesti ingat, selain daripada pemimpin muda yang ada sekarang ini, ramai pemimpin-pemimpin lama yang terpaksa berkorban.


"Berkorban harta, berkorban masa bersama keluarga, berkorban pekerjaan, berkorban segala-galanya untuk kita pastikan bahawa semangat reformasi itu dapat diperjuangkan dan akhirnya diberikan yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia," kata Mohammed Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.


Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi membesar dalam suasana perjuangan, pada waktu ayahnya Tan Sri Johari Abdul mempunyai masa bersama keluarga terbatas, namun pengorbanan itu kini mula menampakkan hasil apabila perubahan positif dapat dirasai.


"Kita lihat hari ini bagaimana perubahan yang dibawa bukan sahaja baik untuk parti, tetapi lebih penting untuk negara. Ekonomi rakyat semakin baik dan Malaysia kembali disegani di peringkat antarabangsa," katanya.


Beliau turut menyeru golongan belia dan pemimpin muda agar tidak melupakan asal-usul perjuangan reformasi serta jasa generasi terdahulu.


Katanya golongan muda untuk tampil sebagai pemimpin belia yang berkualiti dan berprinsip, serta menjadi “anak reformasi sejati” yang terus mempertahankan idealisme perjuangan demi masa depan Malaysia.


"Jangan kita lupakan perjuangan, jangan kita lupakan pengorbanan orang lama. Kita mesti menjadi pemimpin yang lebih baik daripada generasi sebelum ini, supaya kesinambungan perjuangan reformasi dapat diteruskan.


"Jadilah anak Reformasi sejati," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page