Umat Islam seharusnya berasa bersyukur kerana masih dapat menyambut hari raya Aidilfitri meskipun dalam keadaan sederhana, sedangkan ada kalangan kita yang terpaksa bertugas pada hari lebaran.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata, terdapat petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang mengorbankan persiapan hari raya Aidilfitri bagi membantu golongan yang memerlukan.
Beliau turut memberikan contoh bagaimana sebuah kumpulan sukarelawan Parlimen Johor Bahru terus-terusan memberikan bantuan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
"Mereka ini adalah unsung heroes. Sebagai menghargai penglibatan tenaga dan masa mereka, ada yang telah menyumbang duit poket sendiri untuk membeli bahan mentah serta memasak rendang ayam dan nasi himpit sebagai persiapan juadah raya bagi keluarga masing-masing," katanya menerusi akaun Facebook rasminya.
Akmal juga menghargai jasa wakil-wakil masyarakat yang sentiasa turun padang membantu mereka yang berada dalam kesusahan.
"Ini tidak termasuk hubungan kami dengan wakil-wakil masyarakat di setiap kampung, taman, pangsapuri, jalan mahupun lorong yang boleh dianggap seperti sepupu sepapat.
"Walaupun tiada kunjung mengunjung, teruskan menjaga hubungan silaturahim sesama kita.
"Terima kasih abang, kakak dan adik-adik, pengorbanan kalian kepada masyarakat akan terus bawa kebaikan bersama. Insya-Allah," katanya.
Comments