Hargai jasa warga KDN, Malaysia negara antara paling aman di dunia - PM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan jasa dan pengorbanan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar dihargai susulan peranan besar mereka dalam menjamin keselamatan negara, sambil memberi jaminan sebarang salah laku dalam kalangan agensi penguatkuasaan tetap akan diambil tindakan tegas.
Beliau berkata, meskipun terdapat kelemahan yang dibangkitkan, prestasi keseluruhan agensi di bawah KDN menunjukkan peningkatan khususnya dalam usaha membanteras ketirisan dan rasuah.
Katanya, meskipun telah mengadakan pertemuan dengan beberapa kementerian lain sebelum ini, beliau memilih untuk ke KDN kerana berpendapat kementerian tersebut wajar diberikan penghargaan atas peranan pentingnya dalam menjamin keselamatan negara.
"Itu banyak disergah, dikecam (tentang) beberapa ciri kelemahan. Kita tidak nafikan dan Insya-Allah kita cuba baiki tetapi seperti yang disinggung tadi, KDN, Kementerian Pertahanan dan agensi-agensi lain yang terlibat (dalam) soal keselamatan negara (menyaksikan) keyakinan orang boleh berjalan di tengah malam, berniaga dengan aman.
"Itu umumnya kerana tugas dan agensi penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh keluarga KDN serta lain-lain.
"Jadi elok kita manfaatkan waktu ini untuk menyatakan penghargaan. Jangan kita gunakan kesempatan dan leteran dalam beberapa kelemahan," katanya dalam ucaptama sempena perjumpaan bersama warga KDN di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan antara negara yang aman, malah tersenarai sebagai antara yang paling aman di dunia.
Beliau yang juga Presiden KEADILAN berkata, badan penguatkuasaan negara secara umumnya mempunyai prestasi yang baik dan rakyat perlu menerima kenyataan itu terlebih dahulu.
"Kemudian (baru) kita cari penyelesaian bagi beberapa kelemahan. Soal pembanterasan rasuah, beberapa tahun yang lalu (kita sudah) bersungguh-sungguh dan selain daripada Saifuddin (Menteri KDN), saya sendiri berulang kali panggil minta supaya tindakan diambil tapi tak semudah yang dibicarakan.
"Ia mengambil waktu, kebijaksanaan dengan ketangkasan dan disiplin, tapi sebaik sahaja ada kejayaan seperti mana yang saya umumkan di Parlimen, elak ketirisan baik di sempadan atau di lapangan terbang atau di pelabuhan.
"Kalau kita sudah kumpul keseluruhannya untuk dua tahun RM15.5 bilion (hasil rampasan dan penalti oleh badan penguatkuasa), tentulah saya sebagai seorang manusia, anggota keluarga, harus tabik juga kepada rakan-rakan termasuk di PDRM dan badan-badan penguatkuasaan yang lain.
"Tapi sesetengah orang itu masalah dia pilih untuk menimbulkan kenyataan seolah-olah semua orang ini tidur dan semuanya di sini korup, dan ini yang saya fikir kurang wajar.
"Jadi kita gunakan kesempatan Ramadan ini (untuk) akui (sememangnya) ada kelemahan, tapi (pada masa sama) mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan dan insaflah bagi yang masih cuai," katanya lagi.









Comments