Kerajaan Negeri Selangor begitu menjaga kebajikan atlet dan bekas atlet yang bergiat dalam pertandingan sukan di peringkat negeri mahu pun negara.
Sehubungan itu sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan memberi sumbangan bernilai RM200 kepada 200 penerima yang terdiri daripada atlet, atlet sukan para dan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama Selangor dan Malaysia.
Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Khairuddin Othman, penghargaan kerajaan negeri tersebut akan membantu mengurangkan beban mereka untuk turut bersama-sama meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri.
"Sumbangan Aidilfitri “Hargai Jasa Atlet” adalah salah satu komitmen jalinan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri, Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia demi memastikan kebajikan atlet, atlet sukan para dan bekas-bekas atlet sentiasa diutamakan supaya jasa dan pengorbanan mereka dijulang dan diingati
masyarakat," katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri, pagi tadi.
Selain sumbangan itu, kata Khairuddin, Kerajaan Negeri juga giat menyediakan program Ceria Atlet Selangor 2022 pada tahun ini.
"Kerajaan Negeri terus komited mempergiatkan program mendekati golongan ini dengan meneruskan Program Ceria Atlet Selangor 2022 yang menekankan tema “Hargai Jasa Atlet”.
"Program ini adalah usaha tekad untuk kita tidak melupakan jasa bekas-bekas atlet mahupun menghargai atlet yang telah gigih mengangkat nama Selangor dan Malaysia di mata dunia," katanya lagi.
Comments