Harga tiket penerbangan di antara Semenanjung dan Sarawak yang melambung sejak kebelakangan ini menimbulkan tanda tanya sama ada hal itu berlaku akibat berhentinya operasi MYAirline
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, Kerajaan Perpaduan perlu menjelaskan mengenai kenaikan harga yang berlaku agak mendadak itu.
Selain itu, katanya, Kementerian Pengangkutan wajar campurtangan bagi menurunkan harga tiket penerbangan terutama destinasi bandar bandar besar Sarawak ke Kuala Lumpur dan sebaliknya bagi mengurangkan beban rakyat.
"KEADILAN Sarawak bersama rakyat Sarawak merasai keperitan harga tiket penerbangan dari Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri ke Kuala Lumpur serta penerbangan dari Kuala Lumpur ke destinasi yang sama di Sarawak.
"Oleh itu KEADILAN Sarawak merayu campurtangan Kementerian Pengangkutan untuk berbincang dengan syarikat penerbangan seperti MAS dan AirAsia tentang keadaan harga tiket yang melambung tinggi sejak operasi MYAirline berhenti," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Roland Engan lagi, rakyat Sarawak yang mengeluh akibat kenaikan harga tiket sehingga menyulitkan mereka di perantauan untuk bertemu kaum keluarga dan sanak saudara terutama pada waktu cuti tertentu.
"Ramai di kalangan rakyat Sarawak yang mulai terhalang untuk kembali ke Sarawak daripada Semenanjung Malaysia pada musim cuti dan perayaan Krismas serta Tahun Baru akibat tambang penerbangan yang tinggi sehingga mencecah lebih RM1,000 sehala.
"Perhatian Keraiaan Perpaduan khususnya Kementerian Pengangkutan dalam hal ini sangat dihargai," kata Roland Engan lagi.
Commentaires