Harga siling tiket penerbangan RM499 ringan beban perantau - Loke
- Suara Keadilan

- 8 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Pengangkutan (MOT) berjaya meringankan beban rakyat yang ingin pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan menerusi pelaksanaan harga siling tiket penerbangan RM499 bagi musim perayaan tahun ini.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook (gambar) berkata, program subsidi tiket penerbangan itu telah memberi manfaat besar kepada perantau di Malaysia Timur yang sebelum ini berdepan harga tiket mencecah ribuan ringgit setiap kali musim perayaan.
"Saya masih ingat pada 2023, harga tiket dari Kuala Lumpur ke Tawau pernah mencecah RM3,000 hingga RM5,000 semasa Hari Raya Aidilfitri.
"Ketika itu, ramai pelajar dan pekerja mengadu sukar pulang ke kampung halaman," katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurut beliau pengalaman pahit itu mendorong kerajaan memperkenalkan dasar harga siling pada 2024 sebanyak RM599, walaupun ketika itu belum ada peruntukan khas.
"Untuk mencari dana segera, kami jual nombor plat khas. Hasilnya, sebanyak RM11 juta berjaya dikumpul dan digunakan bagi mensubsidikan 26,993 tiket penerbangan ke Sabah, Sarawak dan Labuan," jelasnya.
Kata beliau, purata harga sebenar tiket pada masa itu ialah RM1,007 manakala kerajaan menampung selebihnya bagi memastikan rakyat tidak perlu membayar lebih daripada RM599.
Tahun ini, Loke memberitahu, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan khusus bagi meneruskan program tersebut dengan penurunan harga siling kepada RM499.
"Setakat ini, sebanyak RM19.5 juta telah dibelanjakan untuk mensubsidikan 39,744 tiket penerbangan semasa sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan program ini akan diteruskan pada Hari Natal bulan depan," katanya.
Anthony berkata, langkah itu sejajar dengan semangat Malaysia Madani untuk memastikan tiada rakyat yang tertinggal, khususnya mereka yang berada jauh dari keluarga di Malaysia Timur.
"Ini bukti kerajaan MADANI bekerja, bukan sekadar berjanji," katanya.









Comments