Harga petrol RM1.99 seliter secara bersasar langkah terbaik bantu rakyat
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Dakwaan bahawa Kerajaan MADANI menipu atau 'kencing rakyat' dalam isu penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter bagi golongan sasar terutama B40 mulai September ini adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.
Pemerhati Sosial dan Dasar Awam, Syed Mohd Al Amin Tuan Sharif berkata, penurunan harga petrol itu dibuat berasaskan prinsip subsidi bersasar, iaitu memastikan peruntukan negara digunakan secara lebih cekap dan sampai kepada kelompok rakyat yang benar-benar memerlukan.
Hakikatnya, beliau berkata, selama berpuluh tahun subsidi bahan api dilaksanakan secara menyeluruh, sebahagian besar daripadanya turut dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.
Katanya, statistik Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan bahawa hampir 35% daripada subsidi petrol sebelum ini digunakan oleh golongan T20 yang memiliki kenderaan besar dan menggunakan petrol dalam kuantiti tinggi.
"Situasi tersebut bukan sahaja tidak adil, bahkan menekan kedudukan fiskal negara. Melalui mekanisme baharu, hanya pengguna yang disahkan melalui pangkalan data kerajaan (PADU) layak menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter.

"Golongan M40 pula tidak diketepikan (sekiranya layak), mereka masih menerima manfaat melalui skim bantuan tunai, insentif cukai, serta akses kepada pengangkutan awam yang terus disokong oleh kerajaan.
"Manakala golongan T20 masih menikmati kawalan harga petrol yang tidak dilepaskan sepenuhnya kepada pasaran global, sekali gus melindungi semua pengguna daripada kejutan harga mendadak," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru kata beliau, keputusan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 bukanlah berbentuk diskriminasi, sebaliknya langkah tepat dan berkesan bagi memastikan subsidi diagihkan secara adil, berfokus, dan mampan.
"Ia membuktikan kerajaan bukan sahaja prihatin, tetapi juga bertanggungjawab dalam mengurus sumber negara demi manfaat jangka panjang seluruh rakyat Malaysia.
"Penjimatan hasil pengurangan subsidi pukal itu pula akan disalurkan semula kepada sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan bantuan kebajikan.
"Ini adalah sebahagian daripada reformasi fiskal Kerajaan MADANI untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara tanpa mengabaikan kebajikan rakyat," katanya sambil memuji kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar yang juga Presiden KEADILAN.
Untuk rekod, subsidi bersasar RON 95 yang menggunakan MyKad untuk membeli bahan api di stesen minyak bagi pengguna yang layak dijangka akan berkuatkuasa pada hujung September 2025.