Harga minyak di Malaysia berasaskan formula APM, tak terdedah turun-naik pasaran
- Akmal Manaf

- 6 days ago
- 2 min read

Naratif yang dimainkan penyokong pembangkang bahawa harga minyak dunia turun sebaik sahaja gencatan senjata Amerika Syarikat - Iran, tetapi harga minyak di Malaysia tidak berubah adalah tidak tepat tanpa memahami formula penetapan harga bahan api negara.
Biro Penerangan KEADILAN Melaka berkata, sistem Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan Malaysia bukan sahaja berasaskan kos sebenar, malah bertujuan mengelakkan ketidakstabilan harga berasaskan turun-naik pasaran dunia.
"Pertama, penting untuk difahami harga minyak global yang dilaporkan di media bukanlah harga untuk kegunaan segera. Ia merujuk kepada harga kontrak hadapan, iaitu harga bagi penghantaran pada bulan-bulan akan datang.
"Ini bermaksud, penurunan harga yang diumumkan hari ini tidak serta-merta memberi kesan kepada bekalan fizikal yang sedang digunakan di negara kita.
"Kedua, stok bahan api yang digunakan dalam negara ketika ini sebenarnya telah dibeli lebih awal, ketika harga global berada pada paras yang jauh lebih tinggi.
"Berdasarkan siaran media Kementerian Kewangan, harga belian sebelum ini mencecah sekitar AS$150 setong bagi petrol dan AS$250 setong bagi diesel, maka kos itu masih menjadi asas kepada harga runcit semasa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Biro Penerangan KEADILAN Melaka, mekanisme penetapan harga berasaskan kiraan APM mengambil kira purata harga minggu sebelumnya dan bukan harga harian sebagaimana diamalkan di kebanyakan negara maju.
Pengiraan juga, katanya, masih memasukkan unsur subsidi terhad dan kadar harga petroleum ketika diberi. Hal itu, katanya menyebabkan harga runcit minyak di negara ini lambat turun dan lambat naik berbanding pasaran global
"Justeru perubahan harga runcit memerlukan masa sebelum dapat mencerminkan trend penurunan global.
"Dalam masa sama, kerajaan terus memainkan peranan penting dalam melindungi kebajikan rakyat. Walaupun harga tanpa subsidi meningkat, harga bahan api bersubsidi masih dikekalkan pada kadar rendah seperti RON95 pada RM1.99 seliter, serta pelbagai bantuan seperti BUDI dan kawalan subsidi bersasar.
"Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengimbangi realiti pasaran global yang tidak menentu dengan keperluan menjaga kesejahteraan rakyat," katanya lagi.




Comments