Harga beras putih import turun ke RM2,600 per metrik tan - KPKM
- Suara Keadilan
- 19 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan harga beras putih import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di seluruh negara diselaraskan kepada RM2,600 per metrik tan berkuat kuasa esok.
Penurunan itu merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai setahun apabila pada 1 Disember lalu, kerajaan menyelaraskan harga BPI pada kadar RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan berkata, pelarasan harga BPI itu merupakan langkah proaktif untuk terus menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
"Kejayaan ini hasil pendekatan strategik BERNAS dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras daripada pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal," kata beliau.
Beliau menjelaskan pelarasan tersebut merupakan hasil sesi libat urus bersama BERNAS dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa, termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
"Kementerian akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata kementerian turut memutuskan untuk meneruskan program subsidi BPI oleh Kerajaan Persekutuan bagi negeri Sabah dan Sarawak seperti biasa.
"Langkah ini jelas mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh dan sentiasa mencukupi," katanya.