Harga barangan basah turun bukti usaha kurang kos sara hidup berjaya
- Suara Keadilan
- Nov 27, 2024
- 2 min read

Oleh: Fiza Halim
Harga 20 barangan segar turun lebih 10% dari Jun hingga Julai lalu memperlihatkan usaha Kerajaan Madani di bawah Kementerian Ekonomi untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat telah berhasil.
Meskipun penurunan itu tidak mendapat sambutan baik daripada warga net pro pembangkang apabila mereka menyatakan barangan minuman dan makanan tidak mengalami penurunan yang banyak namun secara keseluruhan kerajaan telah berjaya mengekang kenaikan harga, apatah lagi selepas penyasaran semula subsidi diesel pada Jun 2024 yang menyaksikan kos penghantaran barangan tidak naik.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Muhammad Azha Salahudin, Kerajaan Madani terbukti telah membuat yang terbaik untuk rakyat tetapi malang, katanya, laskar siber pembangkang terus menyebarkan dakyah harga barang meningkat dan membebanan rakyat.
"Dalam sosial media penyampaian (maklumat) terlampau banyak bercampur dengan berita palsu dan rakyat atau netizen ini keliru dengan dasar kerajaan.
"Maklumat benar tidak sampai kepada netizen dan saya rasa perlu gunakan Jabatan Penerangan (secara lebih kerap) untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai berkenaan isu ini.
"Sebagai contoh, kalau harga daging naik, habis semua yang melibatkan daging akan naik, itulah yang disebarkan netizen," katanya ketika dihubungi.
Harga 20 barangan segar turun lebih 10% dari Jun hingga Julai lalu, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli baru baru ini ketika menolak dakwaan kenaikan harga mendadak yang tersebar di media sosial.
Menurut Rafizi dalam kenyataannya, beliau telah menyemak laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang dikeluarkan September lalu mengukur perubahan harga pelbagai barangan pada Julai dan Jun.
Kata beliau keadaan adalah sebaliknya, barangan segar didapati lebih murah Julai lalu termasuk timun, kacang buncis, cili padi, kubis, daging kambing, anggur merah, lada benggala, saderi dan limau kasturi.
Mengulas lanjut, kata Azha, pembangkang sering menggunakan isu kenaikan harga diesel yang diikuti oleh kenaikan harga barang sebagai alat untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan.
Katanya, mereka telah kering modal bermain politik sehingga memperdaya rakyat dalam isu bahan api diesel dan selepas ini petrol yang bakal ditarik subsidi pukal.
"Pembangakang suka bermain dengan sentimen, kerajaan bukan hapuskan subsidi tetapi kerajaan sasarkan subsidi kepada mereka betul-betul layak menerima subsidi.
"Pembangkang akan cakap petrol naik harga barang pun akan naik. Mereka jelas tak ada modal nak jatuhkan kerajaan. Padahal lepas subsidi ayam ditarik (2023) pun harga ayam masih lagi rendah dan terkawal," katanya.
Comments