Oleh: Akmal Manaf
Kejayaan dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan Madani yang boleh dilihat rakyat dengan mudah adalah kestabilan harga barang.
Menurut Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Bryan Ng Yih Miin, harga barang keperluan asas tidak melonjak pada musim perayaan mahu pun pada waktu cuaca buruk.
Hal itu, katanya, merupakan bukti Menteri Kerajaan Madani kompeten dan bijaksana dalam menjalankan tugas.
"Kita tengok harga barangan asas seperti kobis mengalami penurunan sekitar RM5.23 pada September lalu, berbanding RM7.63 (purata) pada Jun lalu.
"Selain itu, cili api juga mengalami penurunan iaitu RM23.94 sekilo pada 18 November lalu berbanding harga pada Ogos (RM30.60).
"Hakikatnya, harga melambung pada tahun 2020 hingga 2022 iaitu pada zaman pentadbiran Perikatan Nasional (PN). Semua peniaga tidak kira kecil atau besar telah menaikkan harga jualan untuk makanan yang diproses atau disediakan di restoran dan kedai," katanya ketika dihubungi.
Masalah harga yang tidak turun terutama pada produk makanan dimasak, kata Bryan Ng, menjadi modal kepada pembangkang untuk mengatakan kos sara hidup kekal melambung dan membebankan rakyat.
Sedangkan, kata beliau, perkara itu adalah lanjutan daripada kegagalan kerajaan PN yang lalu.
"Walaupun secara purata kebanyakan barang asas turun harga dari tahun 2022 hingga 2024 tetapi harga jualan oleh peniaga-peniaga (yang telah naik harga), tidak dikurangkan.
"Ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia merasakan harga barangan proses dan harga makanan di gerai dan restoran tidak ada beza meskipun harga barangan asas menurun," katanya.
Selain itu, beliau berpendapat sesetengah peniaga restoran dan gerai mengambil peluang menaikkan harga yang tidak munasabah apabila penyasaran subsidi diesel diperkenalkan walaupun kos pengangkutan tidak naik kerana lori pengangkut telah diberi subsidi melalui fleet card.
"Misalnya harga diesel meningkat dari RM2.15 kepada RM3.35 iaitu RM1.20 seliter. Jika dibahagikan dengan jumlah barangan yang boleh diangkut, setiap barangan mungkin harganya hanya naik tak sampai RM0.50, tetapi harga yang dinaikkan peniaga adalah RM2.
"Oleh demikian, saya mencadangkan pihak kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk membuat pemantauan harga dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan secara keterlaluan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan," ujarnya.
Comments