Kerajaan Persekutuan harus menggerakkan agensinya memantau harga barang keperluan di Labuan ketika fasa pemulihan dari pandemik Covid 19.
Ketua Cabang KEADILAN Labuan, Simsudin Sidek berkata, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP ) perlu memberi tumpuan dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan bekalan barang keperluan asas di pasaran mencukupi dan juga harga barangan terkawal kerana berlaku kenaikan harga yang mendadak dalam seminggu kebelakangan ini.
"Kini negara berada di fasa pemulihan tetapi harga barangan keperluan kian meningkat. Telur ayam telah merekodkan harga runcit tertinggi dan melakar sejarah apabila dijual pada harga paling tinggi dalam tempoh sembilan tahun. Pihak yang berkaitan perlu melihat semua faktor yang akan memberi kesan kepada bekalan dan permintaan pengguna.
"Labuan perlu diberi tumpuan serius kerana sistem logistik bekalan barangan keperluan majoriti dari luar Labuan iaitu Sabah dan Semenanjung.
"Dengan adanya kecenderungan pengguna membeli secara pukal dan peniaga tidak akan dapat menampung bekalan yang mencukupi, keadaan ini akan menyebabkan pengguna terputus bekalan," katanya.
Menurut beliau lagi, pembelian pukal atau terburu-buru tidak akan berlaku sekiranya pemantauan dan penguatkuasaan berterusan dilakukan oleh agensi kerajaan pusat dan pihak berkuasa boleh membuat persiapan sekiranya bekalan terputus.
"Pembelian secara pukal melalui ejen juga dapat dibendung jika bekalan dikawal dengan lancar. Dalam keadaan ini berkemungkinan bekalan keperluan masih mencukupi kepada pengguna lain.
"KEADILAN Labuan mencadangkan agar pihak kerajaan membuat persiapan awal dan langkah proaktif bagi memastikan bekalan asas di Labuan tidak terputus serta menyediakan mekanisma khas bagi menyelesaikan isu bekalan dengan dalam mengawal harga," katanya lagi.
Comments