Harga ayam: Kerajaan PN digesa sediakan tabung pinjaman RM5 bilion modenkan agrofood



Krisis kenaikan harga ayam yang berpanjangan tanpa berupaya diturunkan ke paras 'mampu beli' oleh rakyat biasa menunjukkan kelemahan ketara Menteri-menteri kerajaan Perikatan Nasional 2.0.


Jawatankuasa Pertanian dan Sekuriti Makanan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya berpendapat kenaikan harga ayam sehingga RM10 sekilogram tidak boleh diselesaikan secara jangka pendek, tetapi memerlukan pelaburan yang besar dan bersifat jangka panjang dari pihak kerajaan.


"Kita lihat pelbagai idea dilontarkan oleh Menteri-menteri PN, tetapi semuanya sekadar 'melepaskan batuk di tangga'. Rakyat tidak nampak kesungguhan dan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah yang menghimpit ini.


"Rakyat masih ingat sepanjang pentadbiran di bawah PH, harga barang keperluan harian termasuk ayam berjaya dikawal walaupun ketika musim perayaan. Kejayaan itu berkat usaha semua Menteri PH yang bekerja sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan masalah kenaikan kos sara hidup


"Difahamkan ketika ini Menteri Kewangan sedang mengkaji cadangan memberikan subsidi kepada para penternak untuk menurunkan harga barang makanan. Namun demikian, usaha Menteri itu merupakan penyelesaian jangka pendek. Itupun kerajaan PN 2.0 ternyata gagal melaksanakan cadangan dengan cepat," kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.


Menurut Jawatankuasa Pertanian dan Sekuriti Makanan itu lagi, mereka mempunyai pengalaman dan pemahaman yang luas dalam sektor dan rantaian penternakan ayam.


Kata mereka, penyelesaian tidak boleh dilakukan secara ad hoc, sebaliknya perlu dirancang secara berjangka panjang demi kebaikan semua pihak melalui usaha pemodenan industri penternakan terbabit.


"Kenaikan harga ayam pada amnya disebabkan ketidakseimbangan antara pengeluaran dengan permintaan. Apabila permintaan pasaran meningkat dan pengeluarannya kurang, maka harga akan melonjak naik


"Industri penternakan ayam di Malaysia pula menghadapi kapasiti pengeluaran terhad. Kebanyakan penternak ayam mengamalkan cara tradisional atau open house. Kaedah yang sudah ketinggalan zaman ini menjejaskan produktiviti dan menyaksikan hasil pengeluaran rendah. Tambahan pula, kos pengeluaran tidak kompetitif.


"Apabila penternak menghadapi masalah kenaikan mendadak harga makanan ayam, perubahan cuaca, atau serangan penyakit misalnya, mereka pasti akan menghadapi masalah pengeluaran. Akibatnya, ayam dijual dengan harga tinggi.


"Dijangka 70% penternak ayam di Malaysia masih mengguna pakai cara yang lama. Kebanyakan mereka juga terpaksa menggulung tikar dan menghentikan operasi akibat kegagalan menanggung kos pengeluaran yang semakin meningkat. Hal ini memburukkan masalah kenaikan harga ayam di pasaran, umpama api yang marak disimbah minyak tanah," ujar mereka.


Justeru, jawatankuasa itu mencadangkan kerajaan membantu para penternak untuk memodenkan industri penternakan kepada sistem close house dan menggunakan teknologi yang lebih moden dan canggih.


Kata mereka, melalui sistem close house dan sistem IoT akan menyaksikan peningkatan produktiviti penternakan di samping dapat menguranglan kos pengeluargan supaya harga ayam di pasaran dalam lingkungan yang tidak membebankan.


"Dalam Bajet 2022 ini, Jawatankuasa Pertanian PH ingin memberikan cadangan kepada Menteri Kewangan dengan menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood (soft loan) sebanyak RM5 bilion kepada para petani, penternak dan nelayan.


"Tabung Pinjaman Agrofood bukanlah perkara baharu. Semasa pentadbiran PH, kami telah menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood dalam Belanjawan 2020. Kerajaan Perikatan Nasional 1.0 juga meneruskan tabung tersebut dengan memperuntukkan RM1 bilion pinjaman.


"Walau bagaimanapun, saiz tabung ini terlalu kecil dengan pelbagai sekatan syarat termasuk RM5 juta pinjaman maksimum. Masalah kerenah birokrasi juga menjadi batu penghalang. Sekatan-sekatan ini dikatakan tidak membantu para pengusaha yang mahu meningkatkan produktiviti secara besar-besaran.


"Maka, Jawantankuasa Pertanian PH ingin menyeru kerajaan memberikan fokus semula kepada sektor pertanian dengan menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood bernilai RM5 bilion dan melonggarkan syarat dan terma serta karenah birokrasi untuk membantu para petani memodenkan teknologi pertanian mereka," kata kenyataan itu lagi.


Tambah jawatankusa itu, dengan menggunakan teknologi tinggi dan canggih, kapasiti yang lebih besar, kos pengeluaran makanan termasuk daging ayam akan menurun. Perkembangan ini, kata mereka, akan menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam secara tuntas dan berkesan.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai), Sim TzeTzin (Bayan Baru), S Kesavan (Sungai Siput) dan V Sivakumar (Batu Gajah).




0 comments