top of page

Harga ayam di bawah paras siling, subsidi ditamatkan mulai esok



Harga ayam bulat diapungkan mulai esok kerana tidak lagi menerima subsidi dari kerajaan.


Harga dijangka tidak naik mendadak kerana sejak beberapa minggu lalu ayam bulat telah berada di bawah paras harga siling ditetapkan dengan permintaan dan penawaran yang seimbang.


Subsidi hanya diperlukan apabila harga kos ayam melebihi harga siling dan perlu campurtangan kerajaan bagi menurunkannya.


Berikut tanya jawab yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan bagi menjawab kemusykilan orang awam terhadap polisi pengapungan harga.


Kenapa kerajaan tamatkan subsidi ayam?


Jawapan: Selaras dengan pendekatan subsidi bersasar yang akan dilaksanakan secara berfasa oleh Kerajaan, maka Kerajaan melihat polisi apungan harga dan pemberian subsidi ayam sudah boleh ditamatkan. Ini kerana pada masa ini, bekalan ayam telah kembali stabil. Di kebanyakan tempat, harga ayam dijual lebih murah dari harga kawalan yang ditetapkan sebelum ini.


Sejak Februari 2022, Kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam. Rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini, ianya turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.


Berdasarkan beberapa sesi libat urus bersama pemain industri seperti pengeluar ayam dan hypermarket, kerajaan mendapati harga ayam tidak akan naik dengan mendadak jika harganya diapungkan. Maka ini adalah masa yang paling sesuai untuk mengapungkan harga dan menamatkan subsidi ayam.


Adakah harga ayam akan naik lepas subsidi ditamatkan?


Jawapan: Walaupun sebelum ini kerajaan menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 sekilo, tetapi peniaga di

peringkat runcit telah mengenakan caj pemotongan (bersih ayam) antara RM1 ke RM2 sekilo. Ini menjadikan harga belian ayam menjadi RM10.40 sekilo.


Apabila harga ayam diapungkan bermula 1 November 2023, harga sekilo ayam pada peringkat runcit di kawasan luar bandar dijangka masih sekitar RM10.40 sekilo. Bagaimanapun harga ayam di peringkat hypermarket dijangka tidak akan melebihi RM9.40 sekilo.


Bagi membantu pengguna di kawasan luar bandar, Kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara yang harga jualan ayam akan kekal kompetitif dan tidak akan membebankan rakyat.



Berapakah penjimatan kerajaan selepas tamat subsidi dan ke manakah wang itu akan dibelanjakan?


Jawapan: Kerajaan dijangka akan menjimatkan RM100 juta sebulan apabila subsidi ayam ditamatkan. Penjimatan ini dapat meningkatkan keupayaan Kerajaan untuk meningkatkan pelbagai inisiatif sosio ekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.


Selain itu penjimatan ini juga dapat digunakan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif daripada segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.


Kenapa harga telur tidak diapungkan?


Jawapan: Pada masa ini Kerajaan melihat bekalan telur masih belum stabil sepenuhnya dan kos pengeluaran telur masih lagi tinggi. Jika subsidi telur ditamatkan pada masa ini, harga telur dijangka akan naik 10 sen sebiji (RM3 sepapan).


Justeru buat masa ini Kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi dan mengawal harga telur supaya tidak membebankan rakyat. Bagaimanapun polisi ini akan dikaji semula apabila bekalan dan kos pengeluaran telur telah stabil sepenuhnya.


Apakah langkah kerajaan jika harga ayam naik mendadak?


Jawapan: Kerajaan melalui KPKM dan KPDN akan sentiasa memantau harga ayam dari peringkat ladang sehingga ke outlet

peruncitan dari semasa ke semasa.


Sekiranya berlaku kenaikan yang mendadak akibat kekurangan bekalan, KPKM telah pun bersedia untuk mengimport ayam dari sumber negara luar bagi mencukupkan bekalan dalam negara.


Namun begitu jika berlaku kenaikan yang mendadak, Kerajaan boleh mengenakan kawalan harga bersekali dengan subsidi

ataupun tidak bersubsidi.



Bagaimanakah harga ayam di Malaysia Timur?


Jawapan: Harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan berbeza berbanding harga di Semenanjung. Asas harga di wilayah ini

adalah sedikit tinggi sepanjang kawalan harga dibuat berdasarkan faktor-faktor serta kos setempat.


Apabila diapungkan, harga di wilayah-wilayah ini dijangka akan mengalami sedikit penyelarasan di peringkat pasaran pengeluar,

borong dan juga runcit. Walau bagaimanapun, harganya dijangka akan kekal stabil jika bekalan bahan ini mencukupi dan tiada

gangguan di peringkat pengeluaran.


Aadakah perbezaan harga ayam standard dan ayam super selepas pengapungan harga?


Jawapan: Ayam standard merupakan ayam yang dijual beserta kepala, kaki, hati dan hempedal. Ayam Super pula merupakan

ayam yang dijual selepas dibuang kesemua bahan terbabit.


Kedua-dua ayam ini berbeza dari aspek berat dan harganya. Kebiasaannya harga ayam standard adalah RM1.00/kg lebih

murah berbanding ayam super di peringkat runcit.


Perbezaan harga ini dijangka akan dikekalkan apabila ianya diapungkan memandangkan terdapat perbezaan dalam berat antara kedua dua spesifikasi ayam ini.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page