top of page

Harapan Ramadan CIMB 2026 santuni 6,000 keluarga seluruh negara

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Dr Zulkifli (dua dari kanan) dan Datuk Hasan (kanan sekali) dalam majlis peluncuran bantuan Ramadan
Dr Zulkifli (dua dari kanan) dan Datuk Hasan (kanan sekali) dalam majlis peluncuran bantuan Ramadan

Program Harapan Ramadan CIMB 2026 anjuran CIMB Islamic Bank Berhad bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan rakan-rakan strategik dilancarkan pada 16 Februari sebagai operasi kebajikan Ramadan berskala nasional yang menyantuni 6,000 keluarga di seluruh negara.


Program berkenaan diperuntukkan sebanyak RM1 juta oleh CIMB Islamic Bank Berhad dan dijangka memberi manfaat kepada 24,000 isi rumah bermula 17 Februari hingga 1 Mac ini.


Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.


Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasan Bahrom berkata, program ini akan dilaksanakan secara berfasa meliputi empat zon utama iaitu Zon Utara, Zon Timur, Zon Selatan dan Zon Borneo bagi memastikan agihan bantuan lebih tersusun serta sampai kepada kumpulan sasar.


"Setiap keluarga akan menerima bantuan bernilai RM150 yang bukan sahaja bertujuan meringankan beban kos sara hidup pada Ramadan ini, malah memberi suntikan harapan kepada golongan asnaf, B40, mualaf serta komuniti rentan termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat, pedalaman dan penempatan Orang Asli," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menjelaskan, pendekatan yang digerakkan berteraskan konsep “YADIM Ihsan” iaitu turun padang menyantuni masyarakat secara langsung.


"Kita turun padang menyantuni masyarakat secara langsung, bukan sekadar menyerahkan bantuan, tetapi membina hubungan kemanusiaan serta memperkukuh jaringan sosial komuniti selaras aspirasi Malaysia MADANI, selain menzahirkan sokongan

kerajaan terhadap model kerjasama berimpak tinggi antara institusi dakwah dan sektor kewangan Islam dalam agenda kebajikan rakyat," ujarnya.


Selain agihan bakul makanan, program tersebut turut merangkumi pelbagai aktiviti sokongan komuniti termasuk majlis berbuka puasa, kembara sahur, kacau bubur lambuk, khatam al-Quran dan pengisian dakwah sepanjang Ramadan.


Dalam masa sama, YADIM turut menggerakkan Program Kembara Ramadan MADANI 2026 yang menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 penerima manfaat melalui aktiviti ziarah kebajikan, bantuan komuniti dan penglibatan sukarelawan di seluruh negara.


Program ini dijayakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Waqaf Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Global Peace Malaysia dan Malaysia Relief Agency.


Hasan berkata, kerjasama strategik seperti ini membuktikan sektor korporat mampu menjadi rakan penting dalam memperkukuh kesejahteraan ummah.


"Semoga kerjasama strategik seperti ini akan terus diperluaskan pada masa hadapan kerana ia membuktikan sektor korporat mampu menjadi rakan penting dalam memperkukuh kesejahteraan ummah serta memastikan tiada golongan tercicir daripada perhatian menjelang bulan Ramadan yang penuh keberkatan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page