top of page

"Harapan kita memenangi DUN Linggi" - Aminuddin

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Jul 18
2 min read
DS Aminuddin ketika ditemubual pemberita pagi ini sebaik usai diterima sebagai calon DUN Linggi
DS Aminuddin ketika ditemubual pemberita pagi ini sebaik usai diterima sebagai calon DUN Linggi

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang baharu disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui kerusi berkenaan merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun optimis mampu memberi saingan dengan sokongan jentera parti yang lebih mantap.


Beliau berkata, PH tidak pernah memenangi DUN Linggi sebelum ini, justeru kempen kali ini memerlukan usaha lebih gigih untuk meyakinkan pengundi.


"Kita sedia maklum ini kubu kuat BN, sejak sekian lama Pakatan Harapan tidak pernah menang di DUN Linggi. Inilah harapan kita memenangi DUN Linggi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar dewan penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.


Menurut Aminuddin, sebagai pemimpin parti beliau sedar cabaran yang menanti dan tidak mengambil mudah saingan di kerusi berkenaan.


"Sebagai pemimpin parti, saya mengambil perkiraan, bukan mudah. Saya kena berusaha dalam kempen ini untuk meyakinkan pengundi kepada saya," katanya.


Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, persaingan di DUN Linggi bukan sekadar menentang calon lawan, sebaliknya berdepan keseluruhan jentera BN yang telah lama bertapak di kawasan itu.


Mengulas peluang kemenangan, Aminuddin berkata keyakinannya ketika ini masih seimbang dan tidak mahu terlalu awal membuat andaian awal.


Beliau berkata, keputusan bertanding di Linggi dibuat bagi membolehkan beliau terus berkhidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.


Dalam pada itu, Aminuddin turut yakin jentera PH berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi kempen pilihan raya.


"Kita tahu bahawa kita punya jentera agak baik kali ini," katanya.


Bagaimanapun beliau menyeru semua pihak dalam Pilihan Raya Negeri ini agar tidak memainkan isu berkaitan institusi raja dan adat sepanjang kempen pilihanraya.


"Jangan kaitkan adat, raja dalam pilihan raya kali ini. Cuba kita elakkan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page