Oleh: Mohd Fauzi Hj Fadzil
Tahun 2021 hampir meninggalkan kita dengan seribu satu kegelisahan, belia pada masa kini masih ternanti-nanti janji yang dilaungkan oleh pemerintah di dalam Dewan Rakyat berkenaan peruntukan Belanjawan 2021. Antara janji yang dilaungkan semasa Belanjawan 2021 adalah dana RM 150 juta untuk membeli 150,000 komputer riba yang disumbangkan kepada 500 buah sekolah di seluruh negara, janji tersebut terus ditagih dengan baki beberapa bulan sebelum tahun 2021 tamat.
Memandang kehadapan, belia kini mula mengalih pandangan dan mengharap agar pembentangan Belanjawan 2022 lebih memenuhi keperluan mereka. Keperluan paling penting buat belia pada masa kini adalah tindakan produktif untuk menangani masalah pengangguran yang meningkat akibat masalah pandemik Covid-19.
Pengangguran belia meningkat
Statistik Tenaga Buruh 2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar pengangguran di seluruh Malaysia pada tahun 2020 mencecah 4.5% berbanding 3.3% pada 2019, keadaan pada tahun 2022 pasti tidak jauh bezanya dari segi pengangguran memandangkan Malaysia masih melalui proses pemulihan dalam perkembangan ekonomi. Justeru adalah dicadangkan agar program seperti MYFutureJobs berserta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) dapat diteruskan dan dipertingkatkan dalam Belanjawan 2022.
Laporan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyatakan bahawa daripada 90,470 rakyat Malaysia yang kehilangan kerja pada tahun 2020, hanya 33,341 mampu mendapat penempatan semula pekerjaan di bawah program MYFutureJobs. Keadaan ini menunjukkan bahawa peruntukan untuk program MYFutureJobs dan EMP tidak mampu untuk menampung jumlah rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan, maka peruntukan untuk program tersebut harus ditambah.
Seterusnya peruntukan untuk Pertubuhan Belia harus ditambah agar program-program sosial dan sukan dapat ditingkatkan semula pasca perubahan status Covid-19 dari pendemik kepada endemik pada tahun 2022. Belanjawan 2021 telah memperuntukkan RM 28 juta untuk program sosial dan sukan seperti MyFit, Hari Sukan Negara dan Program Inspire OKU.
Kesihatan mental perlu ditangani
Namun disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan maka kebanyakan program sosial dan sukan tidak dapat dilakukan secara fizikal dan terbuka. Keadaan ini menyebabkan laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati bahawa 2.3% rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kesihatan mental, peningkatan isu ini mula dikesan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan mula dikuatkuasakan.
Malah Kementerian Kesihatan Malaysia merekodkan 465 kes cubaan bunuh diri antara Januari dan Jun tahun 2020, antara punca masalah ini adalah tekanan emosi susulan perubahan persekitaran masyarakat Malaysia yang dipaksa berkurung di rumah. Menjelang kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan yang berlaku akibat pertukaran status Covid-19 kepada endemik, maka peruntukan dana kepada pertubuhan belia boleh dipertingkatkan dengan harapan lebih banyak program sosial dapat dilaksanakan.
Golongan belia yang hampir dua tahun dipaksa berkurung perlu diberi ruang untuk beraktiviti dengan bebas pada tahun 2022, KBS tidak mungkin dapat menganjurkan program sosial dan sukan kepada segenap lapisan belia di Malaysi. Justeru pemerkasaan pertubuhan belia melalui dana untuk perlaksanaan program tersebut perlu diperuntukkan dalam Belanjawan 2022.
________________________________________________________________________________
Pengerusi Tetap Angkatan Muda KEADILAN Cabang Pandan
Comments