top of page

Haramkan segera ‘vape mushroom’ ancaman kepada remaja - MAPIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 29
  • 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan penggunaan dan pengedaran “vape mushroom” yang disifatkan sebagai ancaman baharu kepada kesihatan mental dan keselamatan sosial, khususnya dalam kalangan remaja.


Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata istilah itu merujuk kepada produk vape yang disalahgunakan dengan bahan berasaskan cendawan psikoaktif atau derivatif halusinogen yang boleh menjejaskan fungsi otak serta kesedaran pengguna.


"Penggunaan bahan ini terutamanya dalam bentuk vape boleh membawa kesan serius kepada individu, khususnya remaja dan pengguna pertama kali," kata beliau dalam satu kenyataan.


Menurut Azmi, bahan seperti psilocybin yang terkandung dalam cendawan psikoaktif sebelum ini digunakan dalam konteks ritual tradisional tertentu, namun kini telah disalah guna secara komersial dan rekreasi termasuk dalam bentuk vape yang lebih sukar dikesan.


"Kesan kepada otak dan mental boleh menyebabkan halusinasi visual dan pendengaran, gangguan persepsi realiti paranoia dan keresahan melampau. Juga risiko psikosis jangka pendek atau panjang," katanya.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan ketidakstabilan emosi, tingkah laku impulsif serta kecenderungan kepada perbuatan berisiko, di samping kesan fizikal seperti pening, muntah, degupan jantung tidak stabil dan gangguan koordinasi tubuh.


"Kesan sosial jangka panjang pula seperti gangguan psikologi, penurunan prestasi akademik dan kerja, masalah hubungan keluarga, peningkatan risiko atau penyalahgunaan dadah," jelasnya.


Beliau turut menegaskan bahawa fenomena ini lebih membimbangkan kerana vape tersebut dipasarkan dalam bentuk moden yang kelihatan ‘ringan’, sekali gus mengelirukan masyarakat khususnya ibu bapa dan guru.


"Hakikatnya, ia boleh menjadi pintu masuk kepada ketagihan bahan psikoaktif yang lebih berat."


Sehubungan itu, MAPIM menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap sindiket dadah sintetik, mengetatkan kawalan jualan dalam talian serta memperluaskan pendidikan kesedaran mengenai bahaya bahan psikoaktif.


"Al-Quran menekankan kepentingan menjaga akal daripada kemudaratan. Justeru, sebarang unsur yang merosakkan kesedaran manusia adalah bertentangan dengan prinsip kesejahteraan hidup," katanya.


Tambah beliau, tindakan segera dan menyeluruh amat diperlukan bagi mengekang penularan isu tersebut sebelum ia berkembang menjadi krisis lebih besar dalam masyarakat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page