'Haram undi Suhaizan' tergelincir daripada kaedah penentuan hukum
- Redzuan Shamsudin
- Sep 7, 2023
- 1 min read

Pendapat yang dikeluarkan Pengerusi PN Mahiaddin Yassin bahawa 'haram' menyokong atau mengundi Suhaizan Kayat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai, 9 September ini ditegur Majlis Penasihat Pakar (MPP) parti Amanah.
Menurut Setiausaha MPP Amanah, Datuk Dr Hasan Bahrom, kenyataan Mahiaddin itu amat tidak bertanggungjawab, melampau dan tergelincir daripada aspek kaedah dan penentuan hukum.
"MPP mengingatkan tidak wajar mana-mana pihak secara sewenang wenangnya mengeluarkan kenyataan seperti itu. Lebih-lebih lagi perkara itu dilafazkan oleh orang yang tidak mempunyai latar belakang yang kukuh dari aspek kekuatan dan disiplin ilmu untuk mengeluarkan hukum agama.
"Apa yang dibimbangkan perkara itu boleh mendatangkan kekeliruan dan kesan yang amat tidak baik dari aspek kefahaman dan pemikiran umat.
"MPP berpandangan kenyataan YB Tan Sri tersebut adalah tidak wajar dijadikan bahan politik di pentas pilihan raya sekalipun beliau beranggapan ianya sekadar madah jenaka semata-mata, namun ia tidak beradab untuk dikeluarkan.
"Oleh itu MPP berasa khuatir akan pemikiran yang dilontarkan itu amat terpesong dan boleh membawa kepada kegalauan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Dr Hassan mengingatkan, meskipun berbeza parti politik dan ideologi namun isu-isu yang berkaitan dengan hukum Islam tidak boleh dijadikan landasan untuk meraih sokongan atau membayangkan pihak pesaing sebagai buruk. Lebih lebih lagi apabila persaingan melibatkan calon yang sama sama Islam.
"MPP ingin mengajak semua pihak supaya merujuk kepada Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl, ayat 116 agar apa yang hendak diungkapkan terpandu dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
"MPP Amanah berharap agar masyarakat tidak terpengaruh dan terkesima dengan dakyah politik murahan seperti itu yang boleh mengugat keharmonian dan menimbulkan kebencian dalam kalangan masyarakat oleh golongan yang tidak
sehaluan," katanya lagi.
Comments