Hapuskan Tapak Perlupusan Sampah Haram
- Suara Keadilan
- 16 minutes ago
- 3 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Kewujudan tapak perlupusan sampah haram di sekitar Negeri Selangor telah dikenalpasti wujud semenjak tahun 1980-an lagi, namun ia menjadi semakin tidak terkawal menjelang tahun 2010-an.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim pada tahun 2024 melaporkan bahawa lebih 100 tapak pelupusan sampah beroperasi secara haram telah dapat dikesan di sekitar Negeri Selangor.
Laporan tersebut tidak menunjukkan pola penurunan semenjak tahun 2016. Kewujudan tapak perlupusan sampah haram ini bukan sahaja memberi kesan kepada penyebaran penyakit dan kemusnahan biodiversiti, lebih membimbangkan adalah insiden kebakaran yang sangat mudah berlaku di kawasan tersebut.
Sepanjang Januari sehingga Julai 2025, tiga insiden kebakaran melibatkan tapak perlupusan sampah haram telah berlaku disekitar Negeri Selangor (Rawang, Hulu Selangor dan Gombak).
Tidak dapat dibanteras secara menyeluruh
Tapak perlupusan sampah haram yang masih wujud di Negeri Selangor bukan sahaja memberi kesan negatif kepada penduduk setempat dan alam sekitar, ia juga memberi kesan kepada penurunan harga hartanah setempat.

Namun kewujudannya tidak dapat dibenteras secara berkesan kerana wujud pengusaha industri yang memilih jalan mudah untuk melupuskan sampah tanpa menggunakan khidmat kontraktor pengurusan sampah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Tidak dapat dinafikan bahawa kos pelupusan sampah menggunakan kontraktor berdaftar adalah lebih tinggi, namun pengurusannya lebih selamat kerana mengikut peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Permintaan yang tinggi dalam kalangan pengusaha industri terhadap kos pelupusan sampah yang murah menyebabkan ada segelintir pihak menjadikan tanah milik persendirian sebagai tapak pelupusan sampah haram. Kewujudan tapak perlupusan sampah haram dalam tanah persendirian secara sembunyi makin menyukarkan PBT untuk mengesan dan menghentikan aktiviti tidak beretika tersebut.
Berlaku kebakaran di tapak
Kesan paling ketara melibatkan tapak perlupusan sampah haram di Negeri Selangor berlaku pada Julai 2025 mengakibatkan kebakaran besar seluas kira-kira empat hektar. Kebakaran tersebut yang berlaku di kawasan M Residence 2, Rawang memerlukan masa yang panjang untuk dipulihkan kerana beberapa titik panas dikesan menyebabkan proses pemadaman berterusan selama 20 jam tanpa henti.
Kerajaan Negeri Selangor terpaksa menggerakkan segala aset yang ada seperti drone dan jentera berat bagi mengawal kesan kebakaran di tapak haram tersebut. Malah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pasukan Tindak Cepat (Pantas) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa dikerahkan bagi mengawal kebakaran tersebut.
Keselamatan dan kewangan terpaksa dilaburkan bagi mengawal kebakaran yang diakibatkan oleh pengusaha tapak perlupusan sampah haram yang tidak beretika ini.
Beri kuasa menyiasat kepada agensi
Justeru wujud cadangan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk meminda undang-undang kecil Majlis Kerajaan Tempatan bagi memberi lebih kuasa menyiasat kepada agenda terlibat dan meningkatkan hukuman penjara sehingga dua tahun kepada pengusaha tapak pelupusan sampah haram.
Sehingga kini hukuman yang boleh dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah mengikut bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor bagi kesalahan melibatkan pelupusan sampah secara haram adalah kompaun dan rampasan tanah. Namun hukuman ini sukar dilaksanakan memandangkan kebanyakan kawasan yang terlibat adalah tanah milik pihak swasta yang digunakan tanpa izin, pemiliknya pula sering sukar dijejaki atau enggan bertanggungjawab apabila berlaku masalah.
Justeru adalah penting untuk kuasa yang lebih besar diberikan kepada agensi alam sekitar di Negeri Selangor seperti JAS untuk memiliki bidang kuasa menyiasat dan menentukan hukuman yang setimpal bagi pesalah yang terlibat dengan aktiviti pelupusan sampah secara haram. Semoga dengan ketegasan yang ditonjolkan ini maka kejadian kebakaran yang melibatkan tapak pelupusan sampah haram dapat dihentikan di Negeri Selangor.
Penulis merupakan Pensyarah Kanan Pengajian Umum Universiti Poly-Tech Malaysia