Hapus AUKU: Agenda ‘memandaikan rakyat’, berfikiran kritis bermula
- Akmal Manaf

- 13 minutes ago
- 2 min read

Reformasi pasca pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu memastikan mahasiswa diberikan autonomi bermakna untuk mengurus kesatuan, menganjurkan perbincangan, berinteraksi dengan pelbagai aliran pemikiran serta terlibat secara aktif dalam wacana berkaitan dasar awam.
Timbalan Ketua Biro Pendidikan dan Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Aiman Wan Alias bagaimanapun berkata, kebebasan tersebut perlu disertai dengan tanggungjawab terhadap fakta, etika akademik dan undang-undang.
Hal itu kerana ujarnya, tujuan kebebasan intelektual bukan untuk melindungi sesuatu pandangan daripada kritikan tetapi untuk memastikan semua pandangan boleh diuji secara terbuka.
"Kami berpandangan, inilah sebab pemansuhan AUKU perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara yang lebih luas.
"Negara tidak hanya memerlukan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan (tetapi) memerlukan tenaga kerja yang mampu menilai keputusan, penjawat awam yang mampu menyampaikan pandangan yang tidak popular, institusi yang mampu menerima perbezaan pendapat sebagai sebahagian daripada proses pembetulan, dan rakyat yang mempunyai keupayaan untuk menilai kerajaan berdasarkan bukti serta prestasi.

"Kualiti pembuatan keputusan negara pada akhirnya bergantung bukan sahaja kepada institusi yang membuat keputusan, tetapi kepada kualiti manusia dan budaya intelektual yang mengisi institusi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, ujar beliau, pemansuhan AUKU tidak seharusnya terhenti pada perubahan status undang-undang mahasiswa semata-mata, sebaliknya perlu membuka ruang kepada perubahan lebih substantif dalam pendekatan universiti terhadap kebebasan, perbezaan pandangan serta hubungan antara mahasiswa dengan kuasa.
"Kita tidak sekadar mahu menghapuskan AUKU sebagai sebuah akta, (tetapi) kita mahu menghapuskan keadaan yang menjadikan mahasiswa takut untuk bertanya, mencabar dan berbeza.
"Kami akan terus memperjuangkan agenda ‘memandaikan rakyat’ sebagai sebahagian daripada usaha membina masyarakat yang mempunyai kapasiti untuk berfikir, menilai dan mencabar kuasa secara bertanggungjawab.
"Kerana universiti yang baik bukan hanya menghasilkan manusia yang bersedia untuk bekerja, (tetapi) ia menghasilkan manusia yang mampu memperbaiki institusi yang mereka masuki," kata Aiman yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Terengganu.




Comments