Alasan BN untuk mewajarkan Pilihan Raya Negeri Johor adalah bagi membentuk kerajaan yang kuat.
Bagaimanapun, isu isu besar seperti harga barang dan gaji minima tidak ditunjuk jalan penyelesaiannya oleh BN, malah telah berlarutan sejak bertahun tahun.
Menurut Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak ada faedahnya kerajaan yang kuat sekiranya isu rakyat tidak boleh diselesaikan.
"Kerajaan sebelum ini kuat. Masalah harga barang ini Persekutuan, siapa kerajaan? Umno BN juga. Selesai? Tidak selesai.
"Bila tanya. Ini masalah antarabangsa, baja mahal, racun mahal. Bila tanya di Parlimen dijawab Rusia takluk Ukraine sebab itu mahal. Ukraine dilanggar Rusia baru 2 minggu. Harga barang naik dah 6 bulan. Apa menteri buat?
"Beza masa Saifuddin Nasutioan jadi menteri (KPDNHEP) dulu.
"Saya yakin kalau rakyat itu sedar mereka tidak rela kena tipu," katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengungkapkan apa perlunya wakil KEADILAN dilantik untuk ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Tegas beliau, tiada wakil rakyat Umno atau BN yang membangkitkan isu rakyat. Isu isu tidak popular itu dibangkitkan oleh wakil Pakatan Harapan (PH).
"Gaji minima kita bangkit mahu naik sikit. Syarikat besar Sime Darby, IOI untung bilion. Bank bank untuk RM10 bilion setahun, tak bolehkah bagi gaji minima? Jadi wakil KEADILAN ini bercakap hal rakyat. Ada dengarkah wakil Umno cakap pasal gaji minima, atau MCA? Atau Gerakan? Kamu mesti berani bangkitkan isu.
"Bila kita bangkitkan apa PM jawab? Saya telah berunding dengan syarikat besar dan mereka kata belum bersedia. Kamu (berkhidmat) bagi pihak rakyat atau tauke besar? Bila di kampung 'hidup Melayu' kenapa tak dengar cakap orang bawah?
"Ada orang cakap ini soal Persekutan bukan hal negeri. Saya katakan Persekutuan Umno, negeri Umno. Apa kamu buat? Kalau ambil tindakan di negeri tolonglah rakyat miskin. Kita dalam PH tak bantah. Ini yang kita buat memorandum kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan," katanya.
Anwar juga mempertahankan pendirian terbaharu beliau menyeru kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan RM10,000 secara one off.
Katanya, itu ikhtiar terakhir rakyat untuk meneruskan hidup setelah kerajaan tidak memberi bantuan pasca pandemik Covid 19.
"Bila saya bangkit soal KWSP dulu saya kata tak payah pencarum ambil wang itu sebab wang tinggal sikit. Hendak bersara esok macam mana nak hidup?
"Saya kata tak perlu keluarkan KWSP dengan syarat kerajaan selesaikan masalah rakyat. Rumah rosak akibat banjir, hilang perkerjaan setahun, semua itu diambil kira dan dibayar tak payah guna KWSP. Tetapi kerajaan tampung ke tidak? Saya pergi mana mana semua minta perjuangkan isu keluar KWSP.
"Itu alasan saya minta kerajaan buat keputusan keluar wang KWSP. Bantuan tak ada, duit sendiri tak boleh keluar. Mampus rakyat," katanya.
Pengerusi PH itu juga membangkitkan realiti politik di Johor apabila sambutan besar besaran diberikan kepada orang yang telah diputuskan bersalah olah mahkamah.
Katanya, ada yang tidak kena dengan moral rakyat Malaysia ketika ini.
"Tak munasabah orang ambil berbilion ringgit masih dijaja sekarang. Ada yang tak kena. Anak anak kita kita ajar jangan curi. Bila pangkah kita undi juga parti yang sokong pencuri. Apa yang tidak kena dengan kita?
"Jadi hentikan korupsi, henti memperbodohkan rakyat. Orang yang bersalah mesti dihukum tak kira Tan Sri, Datuk Seri atau lebai kampung," katanya.
Oleh itu, Anwar menyeru agar langkah pertama ke arah membanteras korupsi dimulakan di Johor dalam pilihan raya kali ini.
"Kita mula dengan Johor. Kita mula esok dengan memberikan Arthur (calon KEADILAN DUN Bukit Batu) menang dengan bergaya. Kita menang dengan undi, Melayu, Cina, India. Menang dengan orang lama, orang muda," katanya lagi.
Comentários