Hanya Rakyat Sabah Mampu Tewaskan Rampasan Kuasa Jahat - PH
- Omar Zin
- Jul 30, 2020
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) berharap rakyat Sabah dapat memilih barisan wakil rakyat yang prihatin terhadap kebajikan dan menolak mereka yang mengkhianati mandat dan hanya taksub dengan kuasa pada Pilihan Raya Negeri Sabah tidak lama lagi.
PH berpandangan, tindakan Musa Aman untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan membeli wakil rakyat menggalakkan pembelotan oportunis, lantas disifatkan sebagai 'satu cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral.'
"PH mengecam sekeras-kerasnya politik khianat yang dilakukan Tan Sri Musa Aman, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Perikatan Nasional, serta tawaran sehingga RM32 juta seorang, bersekali dengan tawaran jawatan Timbalan Ketua Menteri.
"PH juga menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela ini dicetuskan oleh anasir-anasir Perikatan Nasional dengan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah dan mengembalikan mandat kepada rakyat.
"Hanya rakyat yang akan mampu menewaskan rampasan kuasa jahat yang telah dilancarkan bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman, dengan sokongan penuh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin," menurut satu kenyataan PH hari ini.
Ia merupakan kenyataan bersama yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEADILAN), Mohamad Sabu (Amanah) dan Lim Guan Eng (DAP).
PH turut mengecam tindakan rampasan kuasa di kala rakyat masih bergelut dengan isu penularan wabak COVID-19.
"Cubaan rampasan kuasa di tengah-tengah usaha negara membendung wabak COVID-19 adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.
"Nampaknya kesihatan orang ramai bukanlah keutamaan berbanding usaha merebut pangkat dan kuasa.
"Kami menyeru rakyat Sabah untuk menyokong Datuk Seri Shafie dan parti-parti yang bersekutu dengannya untuk menetapkan semula (reset) politik nasional dengan mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti, dan memulihkan mandat rakyat di mana kuasa rakyatlah yang menjadi faktor penentu, berbanding kuasa wang ringgit," katanya.
Comments