Hanya PM Anwar bersungguh beri 40% hasil cukai Sabah - Abdullah Sani
- Suara Keadilan

- 12 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Rakyat Sabah diseru menilai secara objektif komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersungguh sungguh mahu melaksanakan hak 40 peratus hasil cukai Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (gambar) berkata, usaha Kerajaan Madani melaksanakan tanggungjawab terhadap Sabah jauh lebih menyeluruh berbanding dengan pentadbiran-pentadbiran terdahulu.
"40% ini bukan isu baru. Ia sudah ada dalam Perlembagaan sejak 1963, tetapi tidak dilaksanakan sebelum ini kerana keperluan dan kemampuan pada waktu itu. Apa yang membezakan kali ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar berhasrat untuk melaksanakan keseluruhan MA63.
"Kesungguhan Anwar ini telah menyebabkan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan politik dengan menampilkan diri sebagai pejuang hak Sabah, sedangkan hakikatnya komitmen sebenar ditunjukkan oleh kerajaan pusat hari ini," kata Abdullah kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau, peruntukan untuk Sabah juga meningkat secara signifikan di bawah Kerajaan Madani dan tanggungjawab Persekutuan bukanlah satu pilihan politik, tetapi kewajipan Perlembagaan yang tidak pernah diabaikan oleh Perdana Menteri.
"Zaman siapa yang naikkan sumbangan RM300 juta kepada RM600 juta? Semua itu di bawah Datuk Seri Anwar. Malah yang akan datang, jumlahnya boleh mencecah RM17 bilion.
"Datuk Seri Anwar tidak mengkhianati Perlembagaan. Beliau tidak menzalimi hak rakyat Sabah. Sebaliknya beliau memastikan tanggungjawab MA63 dipenuhi," katanya.
Mengulas kekeliruan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus yang masih diperkatakan, beliau menjelaskan bahawa sesetengah pihak sengaja memutarbelitkan fakta untuk menyalahkan kerajaan.
"Apabila keputusan mahkamah keluar, ada yang terus menunding kepada menteri, sedangkan itu berpunca daripada salah faham. Tidak wajar menyalahkan kerajaan sekarang atas kelemahan pentadbiran terdahulu," tegasnya.
Beliau menekankan bahawa pengundi Sabah yang akan memuang undi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke 17 harus menilai rekod sebenar, bukan retorik politik sebelum membuat pilihan parti mana yang paling layak dilantik sebagai Kerajaan Negeri yang berwibawa untuk meneruskan rundingan hasil Sabah antara negeri dan Persekutuan.
"Pengundi PRN Sabah perlu melihat komitmen Kerajaan Madani hari ini. Lihat siapa yang betul-betul melaksanakan apa yang dijanjikan dalam MA63, siapa yang menaikkan peruntukan, dan siapa yang benar-benar menghormati hak Sabah," jelas beliau lagi.









Comments