Tuduhan Kerajaan Perpaduan gelojoh membenarkan syarikat BlackRock pro Israel kononnya mengambil alih pengurusan lapangan terbang Malaysia dijawab hari ini di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibtahim berkata, faktanya sepanjang sejarah Malaysia hanya pada era Kerajaan Perpaduan syarikat Israel tidak lagi dibenarkan berniaga di Malaysia.
Manakala BlackRock merupakan syarikat pelaburan berpengkalan di Amerika Syarikat, bukannya Israel.
"Pendirian kita paling tegas dalam sejarah Malaysia kerana syarikat Israel terus beroperasi (di Malaysia) sampai tahun lalu.
"Hanya Kerajaan Madani memutuskan untuk menghentikan semua perdagangan langsung, termasuk syarikat ZIM yang memang guna pelabuhan kita sehingga tahun lalu dan bermula sejak tahun 2002.
"Bermakna berterusan, termasuk tahun 2018, 2019, 2020, 2021 (era PM Mahathir dan Muhyiddin). Kita harus terima kenyataan itu," katanya dalam sesi tanya jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Sebelum itu, Anwar berkata dalam lawatannya keluar negara beliau gigih membawa mesej membebaskan Palsetin dan menentang Israel.
"Kerajaan tetap tegas mempertahankan hak rakyat Gaza (Palestin) termasuk di sidang antarabangsa berdepan presiden Amerika Syarikat Joe Biden, Canselor Jerman Olaf Scholz, PM Australia.
"Kita dalam tiap pertemuan termasuk dengan Primier Li Qiang, China, isu ini kita bangkitkan sebagai antara urutan utama pendirian kita
"Sebab itu kerajaan Malaysia satu satunya (kerajaan) secara terbuka menemui pimpinan Hamas. Walau dapat tekanan itu, kita harus lakukan (bela Palestin) dan pertahankan," katanya dalam menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar).
Comments