Hanya dua undi, had tempoh PM gagal akibat politik sempit
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Hanya dua undi memisahkan Parlimen dengan satu langkah besar dalam sejarah reformasi institusi negara apabila Rang Undang-Undang bagi mengehadkan tempoh perdana menteri berkuasa gagal diluluskan semalam.
Bagi Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar), kegagalan mencapai majoriti dua pertiga itu bagi pindaan Perlembagaan untuk bukan sekadar soal angka sebalinya ia mencerminkan sikap politik sempit yang bertentangan dengan seruan pembaharuan negara.
Beliau berkata cadangan pindaan itu bukan agenda politik mana-mana parti, sebaliknya sebahagian daripada reformasi institusi yang telah dizahirkan sebagai keperluan negara termasuk melalui titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa pembukaan Parlimen.
"Apabila reformasi yang disokong dalam titah diraja ini gagal hanya kerana dua undi, persoalan besar timbul, adakah kita benar-benar serius mahu melakukan pembaharuan atau sekadar selesa dengan retorik perubahan tanpa keberanian melaksanakannya?" katanya dalam kenyataan.
Semalam Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri gagal diluluskan dengan majoriti dua pertiga apabila hanya memperoleh 148 undi iaitu kurang dua undi.
Mahfuz berkata had tempoh jawatan Perdana Menteri bukanlah serangan terhadap mana-mana individu sebaliknya satu mekanisme demokrasi untuk mengelakkan penumpuan kuasa berpanjangan, memastikan peredaran kepimpinan yang sihat, mengukuhkan sistem semak dan imbang serta menghalang budaya patronage dan politik berkepentingan.
Beliau turut menyifatkan tindakan menolak reformasi berkenaan atau tidak hadir dalam pengundian sebagai satu kegagalan moral terhadap amanah rakyat.
"Ahli Parlimen dipilih untuk hadir dan membuat keputusan dalam detik penting negara, bukan untuk berdiam diri ketika masa depan institusi dipertaruhkan," tegasnya.
Menurut beliau, sejarah akan mencatat bahawa negara hampir melangkah ke hadapan, namun digagalkan oleh sikap politik sempit dan kurangnya komitmen terhadap reformasi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perjuangan memperkukuh institusi negara tidak akan terhenti.
"Kuasa adalah amanah. Amanah yang tidak dihadkan akhirnya akan merosakkan sistem. Kita mungkin tewas dua undi hari ini, tetapi prinsip reformasi tidak akan pernah kalah," katanya lagi.




Comments