Hanya Cukai Perkhidmatan naik 2%, jangan kelirukan rakyat
- Suara Keadilan
- Oct 21, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan pembangkang mempropagandakan kononnya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) naik 2% mulai 2024 dan bakal mengakibatkan gelombang kenaikan harga barang amat dikesali.
Bagi Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan menerusi Belanjawan 2024 lalu hanya melibatkan menaikan kadar Cukai Perkhidmatan dan bukannya keseluruhan cukai SST.
Katanya, kenaikan pula tidak melibatkan semua jenis perkhidmatan. Makanan dan minuman serta telekomunikasi tidak terjejas.
"Kenaikan dua peratus tidak memberi impak secara langsung kepada rakyat, kerana tidak semua yang tersenarai dalam cukai tersebut.
"Selain itu, hasil cukai itu memberikan pulangan terus kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan negara demi memberikan kemudahan dan subsidi bersasar kepada orang yang benar-benar memerlukan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan kerajaan untuk meningkat Cukai Perkhidmatan daripada 6% ketika ini kepada 8% pada tahun hadapan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan selain meluaskan skop percukaian membabitkan perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.
Bagaimanapun, kenaikan Cukai Perkhidmatan tidak melibatkan perkhidmatan asas yang digunakan oleh rakyat terbanyak. Hanya melibatkan perkhidmatan yang agak mewah seperti golf, perhotelan dan sebagainya.
Hasil cukai tersebut pula, menurut kerajaan akan dipulangkan dlaam bentuk pertambahan kemudahan sekolah, pembaikan kemudahan awam dan sebagainya.
Comments