Oleh: Abdullah Zaid
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Tambun) mengingatkan pihak tertentu agar tidak menggelirukan rakyat mengenai dakwaan Malaysia enggan menghantar tentera bagi membantu rakyat Palestin.
Jelasnya, langkah tersebut perlu perlu disepakati bersama sama negara dunia lain terutama negara Islam.
Menurut PM, isu menghantar tertera ke Palestin tidak perlu dijadikan bahan ceramah atau tajuk perbincangan kerana keputusan itu begitu serius dan perlukan pelbagai pertimbangan.
"Ada yang di Malaysia menyatakan kita enggan hantar pasukan tentera.
"Pimpinan tentera minta saya sampaikan, adalah tidak adil untuk mana-mana kalangan dalam penyampaian mesej mereka, dalam tazkirah mereka untuk menyinggung hal ini.
"Ini bukan keputusan kita boleh hantar dengan mudah. Jadi saya minta harus ada kefahaman. Jangan kelirukan rakyat," katanya ketika menerangkan dasar terkini Malaysia ke atas konflik Israel - Palestin di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut PM, menghantar tentera memerlukan persetujuan negara Palestin sama ada untuk tentera pendamai atau bantuan kemanusiaan.
“Menghantar tentera, termasuk pendamai atau (tentera) keamanan atau koridor kemanusiaan itu mesti disepakati oleh negara jiran (Palestin).
“Kalau tidak pesawat kita tidak boleh mendarat. Jadi saya minta supaya ada kefahaman, jangan dikelirukan rakyat," katanya.
Bagaimanapun, PM menegaskan Malaysia bersedia untuk melakukan apa sahaja yang perlu bagi menyelesaikan kezaliman yang berlaku terhadap rakyat Palestin akibat pertempuran melawan tentera Israel.
"Sudah sampai ketikanya (Malaysia) bersama dengan wakil pemimpin negara (Islam lain) untuk mengadakan apa-apa sahaja (perbincangan) yang perlu (menghentikan konflik Palestin-Israel)," katanya lagi.
Malaysia akan hadir untuk menyuarakan pandangan dalam mesyuarat khas negara negara Islam membincangkan usaha terkini bagi menghentikan pembunuhan beramai ramai rejim Zionis Israel di Gaza.
Setakat ini lebih 1,500 penduduk Palestin telah terkorban akibat pengeboman tanpa heti Israel sejak bermulanya serangan udara 8 hari lalu.
Comments