Hantar segera pasukan pengaman PBB ke Gaza - MAPIM
- Suara Keadilan

- Oct 21
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak agar Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah Bab VII Piagam PBB dihantar segera ke Gaza bagi melindungi penduduk awam serta memastikan penguatkuasaan gencatan senjata.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan, tindakan moral dan sah di sisi undang-undang yang paling wajar ketika ini adalah campur tangan antarabangsa.
''Hantar pasukan PBB sekarang, lindungi rakyat Gaza sebelum segalanya terlambat. Situasi di Gaza kini telah memasuki fasa genosid pasca gencatan senjata.
''Pembunuhan, penangkapan dan serangan berterusan oleh Israel selepas gencatan membuktikan bahawa rejim itu tidak boleh dipercayai dalam sebarang proses perdamaian.
''Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan ketenteraan Israel yang masih berterusan menyerang Gaza walaupun gencatan senjata telah diumumkan,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Mohd Azmi lagi, pihaknya turut menggesa agar siasatan dan pendakwaan antarabangsa dijalankan terhadap pemimpin politik dan ketenteraan Israel atas jenayah perang dan genosid yang dilakukan.
Selain itu beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Azmi, menyeru agar pelaksanaan sekatan penuh dilakukan ke atas Israel, termasuk embargo senjata dan pengasingan diplomatik.
''Lakukan juga Intervensi kemanusiaan segera bagi membuka koridor darat yang selamat untuk bantuan makanan, perubatan dan perlindungan mangsa awam.
''Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, ASEAN dan semua negara pencinta keamanan diseru bertindak bersama untuk menghentikan genosid ini.
''Dunia tidak boleh terus berdiam diri sementara rakyat Gaza dibunuh di bawah helah gencatan senjata palsu,'' tegas beliau.
Cikgu Azmi menegaskan bahawa rejim pendudukan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva.
Beliau berkata, pihaknya turut mengecam sikap membisu dan kegagalan PBB serta negara-negara penjamin gencatan senjata yang secara tidak langsung memberi ruang kepada Israel untuk terus melakukan jenayah perang.









Comments