Hannah Yeoh janji pastikan identiti warisan Melayu di KL terpelihara
- Suara Keadilan

- Dec 23, 2025
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memberi jaminan akan memastikan usaha pemeliharaan kampung-kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan terus menjadi perhatian utamanya.
Beliau berkata, usaha membangunkan bangunan komersial adalah mudah, tetapi kewujudan kampung tradisi Melayu semakin terhad dan perlu dilindungi agar warisan serta identiti komuniti tempatan terus dikekalkan.
"Mengenai komitmen saya dalam menjaga kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, jangan risau," katanya dipetik selepas melapor diri secara rasmi di kementerian itu semalam.
Sebagai rekod, Ahli Parlimen Segambut itu sebelum ini secara konsisten memperjuangkan agar Kampung Sungai Penchala yang merupakan antara kampung Melayu terakhir di ibu negara diiktiraf sebagai kampung warisan Melayu.
Mengulas lanjut Hannah menjelaskan pelantikannya tidak bermaksud pendirian menentang pembangunan, sebaliknya menyokong pembangunan di Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab dan mampan.
Justeru beliau menegaskan, Wilayah Persekutuan yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mesti menjadi kawasan bersih, selamat serta ditadbir dengan baik.
"Selain itu, kualiti hidup penduduk pelbagai peringkat usia serta mereka yang berpindah ke kawasan bandar mesti ditingkatkan. Ia juga sangat penting bagi kita untuk mewujudkan suasana mesra perniagaan.
"Di Kuala Lumpur, saya sangat mengambil berat tentang situasi hujan lebat dan kesannya. Sebab itulah kita perlu peka dan mengambil kira suara serta kebimbangan rakyat," tambahnya.









Comments