Hampir 500 program dilaksana, isu elektrik, telekomunikasi berjaya diselesaikan
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak (gambar) berkata, pendekatan turun padang secara konsisten melalui pelbagai program membolehkan pelbagai isu rakyat di kawasan itu diselesaikan.
Menurut beliau, sejak diberi amanah sebagai Penyelaras DUN Labu, sebanyak 498 program telah dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat bagi mendekati masyarakat serta menyampaikan perkhidmatan yang terbaik.
"Daripada orang tak berapa nak kenal saya sampailah ke hari ini, kita di pusat khidmat telah menjalankan 498 program.
"Itulah cara saya mendekati masyarakat, berinteraksi dan memberi servis yang terbaik kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata, selain memberi perhatian kepada isu pendidikan dan keagamaan, beberapa masalah infrastruktur asas yang berlarutan sejak sekian lama turut berjaya diselesaikan, termasuk isu bekalan elektrik di Kampung Gadong SC.
Menurutnya, penduduk kampung itu sebelum ini terpaksa berdepan catuan bekalan elektrik terutama pada waktu malam dan musim perayaan sehingga menjejaskan bekalan elektrik di seluruh kampung.

"Dalam tempoh tiga bulan sahaja saya berjaya menyelesaikan isu bekalan elektrik di Kampung Gadong SC dengan pembinaan sebuah pencawang TNB," katanya.
Ahmad Faez turut memaklumkan bahawa ketika mula dilantik sebagai Penyelaras DUN Labu, beliau mendapati Kampung Gadong SC langsung tidak mempunyai liputan talian telefon bimbit.
Katanya, hasil usaha bersama pihak berkaitan, dua menara telekomunikasi berjaya dibina dalam tempoh setahun bagi meningkatkan capaian komunikasi penduduk.
"Alhamdulillah, dalam masa setahun bukan satu menara telekomunikasi yang saya bawa masuk ke Kampung Gadong SC tetapi dua menara telekomunikasi," katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seorang bekas imam yang mewakafkan tanah miliknya bagi pembinaan pencawang TNB dan sebuah lagi tapak bagi pembinaan menara telekomunikasi.
Menurutnya, tanah milik bekas imam berkenaan yang berada di kawasan tinggi dikenal pasti sesuai untuk pembinaan menara telekomunikasi oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Selain itu, beliau berkata sebuah jambatan baharu turut berjaya dibina di kawasan Gadong ketika beliau berkhidmat sebagai Penyelaras DUN Labu selama dua tahun enam bulan.




Comments