HAMKA: Dr Zulkifli mahu lahirkan pemimpin ummah era digital
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan menyeru golongan muda agar tidak sekadar menjadi pengguna media digital, sebaliknya tampil sebagai pemimpin ummah yang berilmu, berakhlak dan berfikiran kritis dalam mendepani cabaran era digital.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Sembilan yang turut dihadiri lebih 1,000 peserta dan disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, baru baru ini.
"Alhamdulillah, gembira melihat dewan penuh dengan lebih 1,000 anak muda yang bersemangat dalam Himpunan Asatizah Muda (HAMKA) Peringkat Negeri Sembilan.
"Sesi dialog membuktikan anak muda kita bukan kosong. Soalan-soalan yang diajukan cukup kritikal mencerminkan keprihatinan mereka terhadap isu semasa," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, golongan muda perlu membudayakan amalan membaca dan menuntut ilmu sebagai benteng daripada pengaruh maklumat yang tidak sahih serta manipulasi di media sosial.
"Budayakan iqra'. Pelbagaikan bacaan berkualiti. Ilmu itu pelindung daripada dimanipulasi.
"Jangan biarkan algoritma media sosial atau pihak berkepentingan 'menyuap' minda kita dengan berita palsu. Tabayyun itu mesti," katanya.
Dr. Zulkifli turut mengingatkan anak muda supaya tidak terjebak dengan budaya kebencian yang semakin berleluasa di platform digital, sebaliknya menyebarkan nilai rahmah, akhlak dan adab dalam kehidupan seharian.
"Jangan terperangkap dalam naratif kebencian. Sebarkan 'positive vibes', keindahan Islam dan rahmah menerusi akhlak dan adab di mana-mana sahaja kita berada," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir dan menyatakan keyakinan bahawa generasi muda hari ini mampu memainkan peranan penting dalam memimpin masa depan umat Islam.




Comments