ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar dilantik secara rasmi sebagai Ketua Penerangan KEADILAN Selangor yang baharu.
Pelantikan itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu pertemuan bersama Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) Selangor.
Halimey sudah pun menjalankan tugas baharunya sejak 1 April, namun majlis penyerahan surat pelantikan itu hanya dapat diadakan minggu ini bagi memberi laluan kepada kerajaan negeri untuk menangani wabak Covid-19.
"Besarlah harapan agar dengan pelantikan ini, tuan akan dapat terus menyumbang serta bekerjasama dengan jawatankuasa ini dalam usaha untuk memastikan pengurusan dan pelaksanaan gerak kerja organisasi berjalan dengan lancar dan teratur," kata Amirudin dalam surat pelantikan itu.
Pada masa sama, Halimey berjanji akan menjalankan tugas dengan amanah dan berharap dapat membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
"Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh YAB Datuk Seri Amirudin serta MPN Selangor yang memilih saya bagi memikul tanggungjawab yang besar ini.
"Insya-Allah, saya akan cuba jalankan amanah ini sebagai Ketua Penerangan Negeri Selangor dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh kepercayaan," katanya.
Comments