top of page

Hakim syarie perlu berani buat keputusan berlandas prinsip keadilan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 9, 2024
  • 2 min read


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin menitahkan semua hakim syarie di negara ini agar berani membuat keputusan berlandaskan prinsip keadilan menurut Islam walaupun ada pihak cuba mempertikaikannya.


Baginda bertitah, semua hakim syarie perlu menjalankan kuasa kehakiman dengan menjatuhkan hukuman dengan adil selaras dengan seruan Allah di dalam al-Quran.


"Seorang hakim syarie perlu mempunyai sikap tegas dan berani dalam membuat sesuatu penghakiman tanpa merasa takut bahawa sesuatu keputusan yang dibuat akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak.


"Walaupun sejak kebelakangan ini, terdapat pihak-pihak yang cuba mempertikai bidang kuasa dan keputusan mahkamah syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran mahkamah sivil, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk hakim syarie berasa 'takut' atau 'bimbang' untuk memberikan penghakiman yang adil," titah baginda.


Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat Dan Pengurniaan Watikah Pelantikan Orang Besar Istana, Anggota Panel Tetap Hakim Mahkamah Syariah, Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Dan Pendaftar Kanan Serta Pendaftar Wali Raja di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.


Sultan Sharafuddin bertitah hakim syarie perlu memastikan keputusan yang dibuat memberikan keadilan kepada semua pihak.


"Dalam penghakiman juga, hakim syarie hendaklah memastikan keputusan yang dibuat itu adalah adil dan menunjukkan hikmah kepada semua pihak.


"Hakim syarie perlu memastikan agar tidak berlaku sebarang kelewatan tidak munasabah dalam mengendali dan membuat sesuatu keputusan sehingga boleh menjejaskan hak dan kebajikan mereka yang terbabit di dalam sesuatu prosiding mahkamah," titah baginda.


Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berpesan agar hakim syarie sentiasa bersedia dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran perundangan dan hukum syarak untuk memperkasakan kehakiman Islam.


"Hakim syarie juga perlu sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang semasa khususnya Perlembagaan Persekutuan yang turut bersangkutan dengan pentadbiran agama Islam negeri," titah baginda.


Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan setiap Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam yang dilantik, menjalankan amanah dalam menguruskan perkahwinan orang Islam.


"Pendaftar hendaklah sentiasa mengamalkan integriti tinggi dan tidak terlibat sama sekali dalam aktiviti pernikahan sindiket yang semakin berleluasa sekarang ini.


"Sekali lagi beta mengingatkan kepada semua yang diberi amanah dan tugas agar sentiasa memperkukuhkan integriti dan menjalankan tadbir urus yang terbaik berteraskan kepada nilai-nilai Islam sebenar," titah baginda.


*Kredit foto: Selangor Royal Office

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page